Sesi fotografi bersama kumpulan Exists pada sidang media khas Konsert Exists Reunion selepas kes penahanan Mamat di Alila Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Vokalis kumpulan Exists, Mamat disahkan akan tetap muncul pada konsert Exists Reunion di Stadium Malawati pada 28 September dan The Theatre at Mediacorp pada 5 Oktober ini.

Penganjur konsert Exists Reunion, Shiraz Projects yang memberi jaminan itu berkata, ini kerana kes penyanyi itu tidak melibatkan pendakwaan di mahkamah dalam masa terdekat.

Pengarah Urusannya, Shirazdeen Karim berkata, ketiadaan Mamat, 41, hanya akan membuatkan dua konsert itu tidak lengkap terutamanya Konsert Exists Reunion.

“Proses melengkapkan kertas siasatan mungkin mengambil waktu dua hingga tiga bulan akan datang.

“Pada masa sama, pihak kami dan rakan-rakan Exists telah menyarankan Mamat untuk memasukkan ke program pemulihan dan dia sendiri turut mahu bebas daripada dadah.

“Shiraz Projects berterima kasih pada semua pihak yang tidak putus-putus bertanya khabar dan prihatin dengan situasi yang melanda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media khas Konsert Exists Reunion di sini hari ini.

Turut hadir, Mamat dan rakan-rakan Exists.

Dua hari lalu, Mamat dibebaskan dengan jaminan polis selepas ditahan polis atas kesalahan dadah pada malam Ahad lalu.

Penahanan itu mengejutkan para peminat kumpulan Exists dengan berita penangkapan penyanyi lelaki itu di Taman Perling, Johor Bahru, Johor.

Vokalis kumpulan Exists, Mamat bercakap pada sidang media khas Konsert Exists Reunion selepas kes penahanan Mamat di Alila Bangsar, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2019.

Ketika ditahan, polis turut menemui peket lutsinar yang dipercayai sejenis dadah.

Shirazdeen menambah, semua pihak perlu membantu Mamat yang disifatkan antara artis hebat yang dimiliki negara ini.

Jelasnya, mengkritik atau menjatuhkan hukuman tidak akan membantu masalah Mamat.

“Kita kena bantu Mamat. Untuk persediaan konsert ini, kami tidak akan kuarantinnya, sebaliknya hanya memantau pergerakan agar bersama rakan-rakan Exists sahaja,” katanya.
– MalaysiaGazette