Datuk Iskandar Abdul Samad. foto SYAFIQ AMBAK, 10 MAC 2019
Iskandar A. Samad.

KUALA LUMPUR – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu mempertimbangkan semula cadangan untuk melaksanakan kempen menjual rumah kepada rakyat Hong Kong dan China.

Ini kerana, masih ramai rakyat Malaysia yang belum memiliki rumah sendiri dan menghadapi masalah untuk membelinya – maka mereka perlu didahulukan bukan rakyat negara luar.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, bantahan besar-besaran terhadap campur tangan Beijing di Hong Kong telah membuat wilayah itu berada di dalam keadaan tidak stabil dan akan menyebabkan ramai penduduknya berhasrat untuk berhijrah.

“Zuraida Kamaruddin tidak sepatutnya menjadikan negara kita sebagai salah satu destinasi utama mereka, biarkan Hong Kong dan China menyelesaikan masalah mereka sendiri.

“Oleh itu, REACH mengingatkan menteri bahawa beliau adalah menteri Malaysia dan bukan Menteri Perumahan Hong Kong atau China. Selesaikan masalah rakyat Malaysia dan bukan rakyat negara lain,” katanya yang juga pimpinan Pas Selangor dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Iskandar, kempen yang dibuat oleh Zuraida itu akan menaikkan harga rumah di Malaysia dan akan menyisihkan pembeli tempatan.

Pembeli tempatan akan terpaksa bersaing dengan pembeli dari Hong Kong dan Negara China, persaingan yang wujud boleh menyebabkan para pemaju meningkatkan harga rumah.

Memandangkan pembeli dari negara luar memiliki keupayaan kewangan yang lebih maka akhirnya pembeli tempatan akan ketinggalan. Pembelian rumah-rumah tersebut akan dimonopoli oleh pembeli luar, ujarnya.

Jelas beliau, walaupun rumah-rumah yang terlibat merupakan rumah-rumah bernilai tinggi namun kebanjiran rakyat Hong Kong dan China ke negara ini akan merubah komposisi masyarakat di bandar-bandar besar.

Budaya dan cara hidup warga asing yang berbeza boleh menggugat kestabilan dan keharmonian masyarakat.

Lagipun, kata Iskandar hari ini Malaysia sudah menghadapi masalah dengan warga asing yang sedia ada, maka tidak perlu ditambah kumpulan yang baru. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast