KUALA LUMPUR – Pengeluar jam tangan mewah dari Switzerland, Hublot mengumumkan kerjasama dengan gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Melalui kerjasama tersebut, Hublot kini merupakan jam tangan dan penjaga masa rasmi buat juara enam musim berturut-turut saingan Liga Super Malaysia itu.

Menerusi laman Facebook rasmi JOHOR Southern Tigers, Hublot dan The Hour Glass Malaysia telah melancarkan kempen pertama dengan menampilkan pemain-pemain utama JDT bergaya bersama jam tangan mewah tersebut iaitu jenama jam tangan pilihan pemain bola sepak profesional.

“Sebagai jenama mewah pertama yang melabur dalam bola sepak pada tahun 2006, Hublot telah sinonim dengan bola sepak dan JDT mempunyai sejarah dan reputasi yang hebat.

“Kelab ini berkongsi nilai, matlamat dan komitmen kami untuk kecemerlangan,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hublot, Ricardo Guadalupe.

Pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pula gembira dengan perkembangan tersebut dan melihat kerjasama itu sebagai perintis terbaik dalam menaikkan ‘jenama’ bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih baik.

“Kami gembira untuk mengalu-alukan rakan kongsi berprestij, Hublot menjadi sebahagian daripada keluarga Johor Darul Ta’zim FC pada masa yang sangat menarik dalam sejarah kelab ini.

”Hublot bukan sahaja jenama jam tangan paling dihormati di dunia, tetapi reputasi untuk kecemerlangan dan inovasi menjadikan mereka penaja yang sesuai dan menarik untuk JDT.

”Ia juga menjadi daya penggerak dalam mempromosikan bola sepak Malaysia ke tahap yang lebih tinggi,” katanya. – MalaysiaGazette