Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pakatan Harapan (PH) berkata Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) Pas-UMNO hari ini langsung tidak mengubah haluan dan perjuangan gabungan itu.

Menurut tiga sayap pemuda itu, PH perlu melihat kepada perjuangan membela nasib rakyat, mengangkat isu-isu hakiki negara serta mengukuhkan rasa kasih kepada Malaysia.

“Perkara berkaitan peluang pekerjaan kepada rakyat, kualiti kehidupan golongan B40, pemerkasaan kepada belia negara dan penyatuan rakyat Malaysia adalah antara fokus yang harus PH jadikan panduan.

“PH juga tidak boleh sesekali culas membela masa hadapan Sabah dan Sarawak,” demikian menurut Pemuda PH dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Ketua ARMADA Nasional & Ketua Pemuda Harapan Nasional, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzah; Ketua DAPSY, Howard Lee Chuan How.

Dalam kenyataan itu juga, Pemuda PH berkata, gabungan Pas-UMNO bukanlah perkara baharu dalam sejarah politik negara.

“Ia tidak sesekali menimbulkan kehairanan kepada Pemuda Harapan. Maka, tumpukanlah sepenuh masa dan usaha PH kepada rakyat dan negara,” kata kenyataan itu lagi.

Justeru itu, PH diseru agar tidak membuang masa membincangkan mengenai isu penyatuan antara Pas-UMNO.

Malah kepimpinan digesa agar menumpukan perhatian kepada meningkatkan prestasi PH yang memerintah negara kini.

“Masa untuk kita melihat gambaran yang lebih besar iaitu politik matang dan khidmat yang menjerumus ke arah penyelesaian masalah untuk membangunkan negara Malaysia yang berbilang kaum.

“Perpaduan negara harus sentiasa menjadi tunjang dalam setiap mesej dan perjuangan parti.

“Ruang dan peluang untuk setiap rakyat Malaysia merentas agama dan bangsa menyumbang idea dan tenaga kepada PH perlu dipertahankan dan diiktiraf sepanjang masa,” kata mereka lagi. -MalaysiaGazette

1 Komen

  1. teruskan bekerja . jangan duk sibuk dengan kerja orang. janji ph belum lagi selesai . peneroka felda tengah tenat . merempat . tak siapa peduli. ada tanah hasil tak keluar . ada pengurusan sibuk sabotaj . peneroka mengeluh suruh sabar . engkau gaji tetap ribuan sebulan boleh lah suruh orang sabar dengan pendapatan 400 ringgit sebulan . BODOH

Comments are closed.