Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden

KUALA LUMPUR – Kes penjualan MyKad yang berlaku di Pulau Pinang merupakan kes terpencil yang terbongkar kepada umum baru-baru ini.

Ketua Pemuda Pas Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pihaknya percaya menerusi kes yang sedang disiasat, ia berkemungkinan melibatkan jenayah pemerdagangan manusia serta penglibatan kelompok-kelompok samseng dan pengganas yang perlu ditangani secara menyeluruh.

“Pemuda Pas Pulau Pinang merasa kesal dengan tindakan tidak beramanah sebilangan kecil pegawai di Jabatan Pendaftaran Negara Cawangan Pulau Pinang yang mendalangi sindiket penjualan dokumen pengenalan diri dan sijil kelahiran kepada warga asing China baru-baru ini telah meletakkan negara dalam risiko.

“Perbuatan ini mengundang kebimbangan dan kemarahan rakyat kerana kesanggupan mereka bersekongkol dengan pihak yang berkepentingan membenarkan kegiatan penyeludupan migran menjadi “halal” dan jelas mengkhianati serta mensabotaj kedaulatan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru katanya, Pemuda Pas negeri tegas supaya pihak berkuasa bertindak ke atas individu terbabit yang menjadi perantara kepada kemasukan pendatang warga asing yang pastinya didalangi oleh mereka yang berpengaruh.

“Pemuda turut tidak berkompromi dalam memberi ruang selesa kepada warga asing yang masih bebas dan mempunyai kad pengenalan sah secara salah,” tegasnya.

Dalam pada itu tambah beliau, Pemuda Pas Pulau Pinang mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pendakwa kerana berjaya membawa ‘pengkhianat’ terbabit kemuka pengadilan.

Ujarnarnya, Kementerian Dalam Negeri serta pihak berkuasa Polis dan SPRM perlu segera bertindak menjalankan siasatan menyeluruh ke jabatan-jabatan kerajaan sama ada di negeri mahupun pusat. – MalaysiaGazette