Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kanan) mendatangani piagam kerjasama antara UMNO dan PAS pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Penyatuan Ummah yang terjalin dengan Piagam Muafakat Nasional antara UMNO dan Pas akan mengembalikan kuasa Melayu dan Islam di negara kita.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengharapkan permuafakatan nasional ini akan memperkasakan umat Melayu dan Islam dalam menghadapi dan menjadi benteng kepada agenda jahat pihak-pihak tertentu.

“Syukur ke hadrat Ilahi kerana dengan jayanya Piagam Muafakat Nasional berjaya dimeterai dan disaksikan oleh puluhan ribu ahli UMNO dan PAS, NGO serta orang ramai di dalam dan luar Dewan Merdeka, PWTC serta ratusan ribu melalui LIVE Facebook atas nama kebangkitan ummah Melayu dan Islam.

“Bermulalah Taawun Siyasi kedua-dua parti secara rasmi.

“Semangat yang dipamerkan oleh ahli UMNO dan PAS menderu ke dasar jiwa, memperlihatkan bahawa semangat Melayu dan Islam itu kuat setelah kita bersatu padu,” katanya melalui Facebook beliau.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani piagam tersebut selepas menyampaikan ucapan masing-masing di Himpunan Penyatuan Ummah.