Victor dan Cynthia Liu tidak dibenarkan keluar dari China untuk pulang ke AS sejak lapan bulan lalu.

NEW YORK- Dua rakyat Amerika Syarikat, Victor dan Cynthia Liu yang “terperangkap” di China selama lebih setahun sangat terdesak mahu pulang ke negara mereka.

Menurut seorang peguam, David Pressman, dua beradik itu terperangkap akibat larangan keluar yang dikenakan China dan kes mereka bukan terpencil.

Katanya, seorang lagi rakyat Amerika, Huang Wan mendakwa pegawai-pegawai kerajaan China menggunakan kes perundangan palsu bagi menghalang beliau pulang ke Amerika Syarikat.

Manakala seorang residen Australia, Yuan Xiaoliang telah dihalang daripada meninggalkan China lebih dari lapan bulan manakala suaminya yang merupakan warga negara Australia telah ditahan kerana disyaki menjadi pengintip.

Jabatan Negara AS telah memberi amaran kepada rakyat negara tersebut mengenai peningkatan kes melibatkan larangan keluar oleh China.

Pada 3 Januari lalu, satu panduan perjalanan menyebut, pihak berkuasa China kadang-kadang mengenakan larangan keluar bagi menahan rakyat AS selama beberapa tahun di negara itu.

“China menggunakan larangan keluar secara paksa bagi memaksa rakyat AS memberi kerjasama terhadap siasatan kerajaan negara tersebut, untuk mengumpan individu-individu tertentu balik ke China dari luar negara serta untuk membantu pihak berkuasa China menyelesaikan pertikaian dalam negara yang menyebelahi parti-parti politik di negara berkenaan,” kata Jabatan Negara AS.- Agensi