Pemandanganibu kota Kuala Lumpur yang terjejas akibat jerebu tinjauan lensa Malaysia Gazette di Menara Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 12 SEPTEMBER 2019.
PETALING JAYA – Dengan lebih 4,000 titik panas dikesan di Indonesia, ia juga menandakan kesukaran negara jiran itu untuk memadamkan semua api dalam masa yang pendek.
Daripada mengharapkan api dipadamkan, mungkin adalah lebih realistik untuk menunggu perubahan arah tiupan angin yang hanya akan berlaku pada akhir bulan ini.
Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional, Dr. Mohd. Hisham Anip berkata, pihaknya meramalkan masalah jerebu akan berakhir pada akhir bulan ini atau awal bulan depan, melainkan Indonesia dapat memadamkan api.
Katanya, memandangkan angin sedang membawa asap dari Kalimantan dan Sumatera ke Malaysia, pembakaran tanpa kawalan di Indonesia juga akan menyebabkan keadaan jerebu bertambah teruk.
“Kami sedang menunggu berakhirnya angin monsun barat daya yang menandakan permulaan musim peralihan monsun untuk menamatkan masalah jerebu di Malaysia.
“Namun, jika Indonesia berjaya menyelesaikan masalah pembakaran, masalah jerebu di Malaysia juga boleh bertambah baik lebih awal,” katanya kepada Sinchew Daily.
Mohd. Hisham berkata, pembenihan awan telah dilakukan di Sarawak pada minggu lalu dan usaha serupa mungkin dijalankan di Semenanjung pada Isnin jika keadaan mengizinkan.
Katanya, negeri yang mungkin dijalankan pembenihan awan adalah Selangor, Melaka, Johor dan Negeri Sembilan.
Sementara itu, agensi berita asing melaporkan, Indonesia telah mengerahkan ribuan orang untuk memadamkan api yang menyebabkan Malaysia dan Singapura diselubungi jerebu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast