KUALA LUMPUR – Sikap ‘tidak ambil pusing’ dalam isu arak murah yang masih lagi menghantui segelintir kumpulan B40 khasnya dalam kalangan komuniti India sebenarnya sangat mengecewakan.

Walaupun sudah bertukar kerajaan, namun masalah tersebut masih gagal ditangani malah sehingga kini tiadaksebarang kerangka undang-undang digubal bagi mengekang penjualan atau pengharaman minuman tersebut.

Pengerusi Gerakan Anti-Arak Murah Malaysia, David Marshel melahirkan rasa kecewa dan sedih melihat senario itu sedangkan menurutnya kerajaan sepatutnya boleh melakukan lebih daripada itu dalam isu ini.

“Sebenarnya perjuangan kami bukan sehari dua sebaliknya sejak 2014 lagi. Sebelum satu peraturan baru diperkenalkan di bawah Akta Makanan 1983 (Pindaan 2016) untuk mengawal penjualan arak murah di Malaysia.

“Peraturan-peraturan Makanan 1983, telah di pinda dan  diwartakan pada 2016 (386A) dan dimaklumkan bahawa akan dikuatkuasakan 1 Disember 2017 namun ianya ditangguh kerana desakan pihak Persatuan Pengilang dan Pembotolan Arak Malaysia.

“Selepas itu kerajaan masa itu (BN) tidak memberitahu tarikh penguatkuasaan bagi akta tersebut sehinggalah pilihan raya umum yang sehingga kami berharap pertukaran kerajaan mampu menyelesaikan perkara ini.

“Bagaimanapun, kerajaan PH telah tangguh dua kali penguatkuasaan peraturan baharu itu dan yang terbaru KKM telah membatalkan peraturan tersebut setelah desakan Persatuan Pengilang dan Pembotolan Arak Malaysia.

“Ini sungguh mengecewakan apatah lagi kerajaan hanya bertindak membatalkan atas permintaan 30 buah syarikat pengilang ini,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

David yang juga merupakan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mendedahkan statistik menunjukkan hampir setiap hari ada kematian akibat kerosakkan hati di hospital kerajaan kerana mengambil minuman tersebut.

“Apa yang jauh lebih menyedihkan kebanyakkan mangsa adalah golongan kumpulan B40 dan kaum yang terbanyak menjadi mangsa adalah kaum India. Dari golongan miskin, kepada sekurang-kurangnya lebih 100,000 ibu tunggal selain para pelajar sekolah sendiri mula terdedah dengan alkohol murahan ini.

“Kami bukan sahaja berharap Kementerian Kesihatan prihatin tentang kematian serta komplikasi setelah minum minuman arak murahan ini sebaliknya juga berharap tindakan tegas secepat yang mungkin.

“Ingat lagi tentang video viral seorang pelajar di Kuantan yang tidak sedarkan diri kerana minum arak murahan ini senang dibeli dengan harga antara RM3 hingga RM5, bukan sahaja dia sebaliknya ramai lagi pelajar boleh mendapatkan minuman ini dengan mudah.

“Ada fikir tentang isu sosial yang akan kita hadapi kelak? Mengapa semua ini seolah-olah tidak memberikan apa-apa kepada kerajaan untuk bertindak? Janganlah sehingga nasi menjadi bubur kelak.

“Ingat, selagi tidak ada apa-apa tindakan, kami akan berterusan berjuang sehingga kerajaan mengharamkan alkohol murah atau menguatkuasakan undang-undang bagi mencegah masalah sosial tersebut.

“Kami merancang untuk mengadakan perhimpunan awam di Parlimen pada sidang yang akan datang jika tiada tindakan diambil terhadap isu minuman keras murah, buatlah sesuatu. Ini bukan satu perkara kecil,” tegasnya.

David yang sempat bertemu dengan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefley semalam ketika karnival kesihatan di Butterworth serta memaklumkan kepadanya tentang isu-isu berbangkit berhubung perkara ini.

Beliau juga mendedahkan sebelum ini ada segelintir pemimpin dan Ahli Parlimen sekarang yang berkhidmat sebagai nenteri menyokong usaha pergerakan ini dalam membanteras arak murahan ini namun belum nampak apa-apa tindakan drastik.

“Beberapa ahli parlimen pembangkang semasa era BN menyuarakan sokongan mereka di parlimen tetapi sekarang tidak bersuara untuk mengharamkan minuman keras murah ini,” ujarnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast