BAGHDAD – Di sebalik dakwaan pemberontak Yaman dan spekulasi media, Baghdad tampil menafikan sebarang kaitan dengan serangan ke atas dua loji pemrosesan minyak Arab Saudi.
Serangan Sabtu lalu mensasarkan dua loji minyak menyebabkan kebakaran besar sehingga menjejaskan pengeluaran minyak negara berkenaan, dan pemberontak Yaman yang disokong tentera Iran, Houthi mendakwa ia dilancarkan menerusi wilayah di Iraq.
Wall Street Journal melaporkan, siasatan sedang dijalankan mengenai kemungkinan serangan tersebut turut melibatkan peluru yang dilancarkan sama ada dari Iraq atau pun Iran.
Perdana Menteri, Adel Abdel Mahdi menafikan wilayah di Iraq digunakan untuk melancarkan serangan dron ke atas loji pemprosesan minyak Arab Saudi.
“Iraq sentiasa komited untuk menghalang sebarang penggunaan wilayah kami untuk menyerang negara-negara jiran,” katanya dalam kenyataan.
“Kerajaan Iraq akan bertindak tegas terhadap sesiapa sahaja yang cuba melanggar Perlembagaan,” katanya lagi.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo menuduh Tehran menjadi dalang di sebalik serangan itu sambil menegaskan tiada bukti kukuh bahawa serangan tidak bertanggungjawab terhadap pembekal tenaga dunia itu dilancarkan dari Yaman.
Iraq menggesa supaya wilayahnya tidak dibabitkan dalam pertelingkahan antara Amerika Syarikat dan Iran yang turut menyaksikan beberapa siri serangan di perairan Teluk Arab. – Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL