KUALA LUMPUR – Pekerja asing yang sah termasuk mereka yang bekerja di kedai mamak bukan sumber penyebaran penyakit tibi rintang-ubat di negara ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Lee Boon Chye berkata demikian ketika mengulas sebaran dalam media sosial bahawa tukang masak warganegara India dan Bangladesh di kedai mamak sebagai sumber penyakit tibi di Malaysia.
Menurut kandungan media sosial tersebut, penyakit tibi ‘import’ tersebut juga sangat dahsyat dan ubat di Malaysia tidak mampu mengubati penyakit tersebut.
Boon Chye ketika dihubungi China Press bagaimanapun menjelaskan, semua pekerja asing yang sah telah disaring oleh doktor di bawah FOMEMA dan disahkan tidak membawa penyakit berjangkit seperti tibi sebelum bertugas di Malaysia.
“Untuk pekerja di kedai mamak, mereka tiada masalah jika merupakan pekerja asing yang sah.
“Pekerja asing tanpa izin memang berkemungkinan membawa kuman tibi termasuk tibi rintang-ubat,” katanya.
Jelasnya, tibi rintang-ubat merupakan satu ancaman untuk kesihatan awam dunia dan ia lebih serius di sesetengah negara.
Katanya, tibi rintang-ubat ubat menyumbang kira-kira lima peratus kes tibi negara ini.
“Walaupun begitu, angkanya lebih tinggi untuk kes pesakit yang tidak menghabiskan proses rawatan dan penyakitnya mengganas semula.
“Dalam kes seperti ini, penyakit tibi rintang-ubat boleh mencecah 20 peratus,” katanya.
Statistik Kementerian Kesihatan menunjukkan kes jangkitan tibi menunjukkan trend peningkatan dari 2013 hingga 2017 walaupun keadaan bertambah baik pada 2018 di Malaysia.
Sebanyak 25,837 kes jangkitan telah direkodkan pada 2018 berbanding 25,618 kes pada tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette