Logo Bank Negara Malaysia

KUALA LUMPUR – Kestabilan kewangan domestik tetap utuh pada separuh pertama 2019 di tengah-tengah cabaran persekitaran luaran dan domestik dengan ketegangan perdagangan yang berlanjutan terus memberi kesan terhadap permintaan luaran serta prospek pertumbuhan serantau.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM), di peringkat global, kelemahan kewangan kekal ketara berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan global yang semakin perlahan dan ketegangan geopolitik yang kian meruncing dan menyumbang kepada peningkatan volatiliti dalam aset kewangan dan harga komoditi.

“Perkembangan ini, ditambah pula dengan kebimbangan mengenai kajian semula kedudukan Sekuriti Kerajaan Malaysia dalam dua indeks penanda aras global, telah membawa kepada beberapa episod peningkatan volatiliti dalam pasaran kewangan domestik.

“Bagaimanapun risiko terhadap kestabilan kewangan domestik sebahagian besarnya dapat dibendung dengan sokongan pertumbuhan ekonomi dalam negara yang secara relatif masih berdaya tahan, keadaan pasaran yang teratur dan institusi kewangan yang kukuh,” kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

Menurut BNM, walaupun volatiliti dalam pasaran kewangan meningkat akibat perkembangan global dan domestik, keadaan pasaran yang teratur terus terpelihara dan pelabur institusi domestik yang kukuh, termasuk institusi kewangan, kekal menjadi sumber kestabilan penting kepada pasaran domestik ketika tempoh aliran keluar portfolio tinggi.

Keadaan ini telah menyokong persekitaran pendanaan domestik yang stabil bagi sektor perniagaan dan isi rumah manakala strategi pengurusan risiko dan perlindungan nilai secara aktif oleh bank-bank terus membendung dedahan risiko pasaran pada tahap yang terurus, dan kekal dalam had kerugian dalaman yang berhemat.

“Hal ini sebahagiannya mencerminkan sikap lebih berhati-hati yang ditunjukkan oleh bank-bank dalam persekitaran ketidakpastian yang berlaku pada separuh pertama 2019. Pada masa sama, penanggung insurans dan pengendali takaful juga terus mengurus pelaburan mereka secara aktif selaras dengan struktur liabiliti masing-masing.”

Selain itu, BNM berkata tahap hutang isi rumah secara keseluruhannya kekal tinggi pada paras 82.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan pinjaman untuk pembelian harta kediaman kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan hutang.

Menurut bank pusat itu, walaupun kebanyakan isi rumah terus mampu membayar balik hutang mereka secara selesa, masih terdapat segmen yang kekal berisiko.

Walaupun bahagian hutang isi rumah yang dipegang oleh peminjam berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan terus berkurangan sejak beberapa tahun ini, leveraj peminjam ini sebaliknya terus meningkat.

Ini kebanyakannya disebabkan oleh akses kepada peminjam perumahan yang lebih mudah di bawah pelbagai skim bantuan pinjaman diperkenalkan pada tahun-tahun kebelangan ini.

“Kumpulan peminjam ini masih terdedah kepada kesukaran kewangan memandangkan penampan kewangan mereka untuk menghadapi potensi kejutan adalah terhad.

“Bagaimanapun, risiko terhadap kestabilan kewangan, sebahagian besarnya masih dapat dibendung memandangkan dedahan bank kepada peminjam berisiko tinggi adalah rendah berikutan pihak bank terus mengekalkan amalan pemberian pinjaman yang kukuh.”

Selain itu, BNM berkata harga rumah terus berkembang pada kadar lebih sederhana dalam keadaan permintaan yang mampan di tengah-tengah permintaan bagi harta kediaman mampu milik.

Pada masa sama, jumlah unit rumah tidak terjual semakin meningkat, terutamanya didorong oleh harta kediaman yang berharga lebih tinggi daripada rumah mampu milik di negeri-negeri secara berasingan.

Sehubungan itu, ini jelas bertentangan dengan pemulihan ketara dalam urus niaga bagi unit rumah berharga kurang RM500,000 yang dicatatkan pada suku pertama.

“Walaupun ketidakpadanan antara bekalan dengan permintaan perumahan mungkin mengambil masa untuk diselesaikan, permintaan yang kukuh bagi perumahan mampu milik dijangka dapat mengurangkan risiko penurunan yang mendadak dan meluas terhadap harga rumah,” kata BNM.

Bagi segmen bukan kediaman, BNM berkata bekalan baharu ruang pejabat dan kompleks beli-belah adalah jauh melebihi permintaan purata permintaan purata tahunan pada tahun-tahun kebelakangan ini yang berkemungkinan akan meningkatkan lagi kadar kekosongan yang sedia tinggi bagi ruang pejabat dan ruang niaga utama serta ruang niaga utama per kapita di bandar raya-bandar raya besar.

Selain itu, menurut bank pusat itu, kedudukan kewangan syarikat korporat bukan kewangan (NFC) adalah lemah sedikit pada separuh pertama 2019 dalam keadaan perniagaan yang terus mencabar.

“Median leveraj NFC meningkat sedikit kepada 24.9 peratus apabila sebahagian daripada syarikat dalam sektor telekomunikasi, penerbangan dan utiliti terjejas sedikit berikutan pelarasan terhadap piawaian pelaporan kewangan baharu.”

Dalam pada itu, BNM berkata mudah tunai dalam sistem perbankan terus mencukupi untuk menyokong pengantaraan kewangan domestik dengan Nisbah Perlindungan Mudah Tunai sistem perbankan semakin mengukuh sejak enam bulan yang lepas.

“Antara usaha untuk memastikan bank-bank mengekalkan profil pendanaan yang stabil, keperluan Nisbah Pendanaan Stabil Bersih akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2020. (Malah,) berdasarkan data yang dikumpulkan semasa tempoh kajian, kebanyakan bank berada pada kedudukan yang baik untuk memenuhi keperluan ini,” demikian menurut BNM. – BERNAMA