Nga Kor Ming.
Nga Kor Ming.

KAMPAR – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) hanya menunggu masa jika UMNO dan Pas tidak menghasut dan meracuni minda masyarakat Melayu, kata Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming.

“Saya menerima maklumat bahawa UMNO dan Pas telah memburuk-buruk UEC dengan mendakwa sistem UEC merupakan pengajaran berasaskan Taiwan.

“Jika kedua-dua parti ini tidak memburuk-buruk, maka ia hanya menunggu masa sahaja untuk kerajaan Pakatan Harapan mengiktiraf UEC,” katanya seperti dipetik China Press dalam satu majlis penyerahan sumbangan kepada sekolah-sekolah Cina.

Beliau berkata, walaupun institusi pendidikan Cina menerima layanan saksama daripada kerajaan, tetapi mereka tidak harus berasa terlalu selesa, terutamanya dengan perkembangan perhimpunan UMNO-Pas.

“Jika UMNO-Pas menjadi kerajaan, maka prospek yang indah untuk pendidikan Cina tidak akan bertahan lama.

“Ia jelas kelihatan kerana Pas dalam mesyuarat agungnya telah membantah pengiktirafan UEC manakala sayap wanitanya meminta secara terbuka supaya kerajaan menutup sekolah rendah Cina,” katanya.

Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berkata, daripada 530,000 murid sekolah rendah Cina yang ada, 24 peratus berasal daripada keluarga bukan Cina termasuk orang Melayu, India dan orang asal.

“Sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan bahasa pengantar berlainan untuk mengajar kandungan yang sama (dengan sekolah kebangsaan).

“Kami harus menghargai, memelihara dan mengembangkan sekolah pelbagai aliran,” katanya. – MalaysiaGazette