Anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) memasukkan tong berisi air yang dilarutkan garam ke dalam pesawat bagi proses pembenihan awan berikutan jerebu yang melanda di Pengkalan TUDM, Subang. foto FAREEZ FADZIL, 16 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Operasi pembenihan awan (OPA) yang dilakukan di Selangor, Perak dan Pulau Pinang pada hari ini berjaya menghasilkan hujan terutama di kawasan utara Semanjung walaupun tidak secara menyeluruh.

Pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) untuk operasi itu telah berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang pada kira-kira jam 12.45 tengah hari dan mendarat pada jam 3.50 petang.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), hujan dilaporkan di Balik Pulau, Seberang Prai, Kulim dan Sungai Petani.

“Antara cabaran yang dihadapi oleh pasukan OPA pada hari ini adalah kesukaran mencari awan yang sesuai akibat jerebu tebal dan kesukaran pesawat umtuk melalui kawasan-kawasan sasaran di sekitar Ipoh dan Kuala Kangsar disebabkan bentuk muka bumi yang berbukit bukau,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya, pesawat juga mengalami kesukaran untuk meningkatkan keberkesanan OPA di Selangor dan Kuala Lumpur kerana kebenaran penerbangan yang terhad sehingga ketinggian 4,000 kaki sahaja agar tidak mengganggu aliran trafik udara.

Menurut kenyataan itu, MET Malaysia akan terus memantau keadaan atmosfera dari semasa ke semasa dan melaksanakan OPA apabila keadaan atmosfera sesuai bagi mengurangkan kesan jerebu di kawasan terlibat. – MalaysiaGazette