Penceramah bebas, Dr Zakir Naik.

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak perlu menyediakan layanan khas kepada Dr. Zakir Naik.

Sebaliknya, Pengarah Lawyers for Liberty, Melissa Sasidaran berkata, pihaknya menggesa kerajaan mengambil tindakan kepada pendakwah Islam berkenaan.

Menurutnya, di bawah undang-undang imigresen, kerajaan ada hak membatalkan status penduduk tetap seseorang yang ‘memudaratkan kepada pihak awam’ seperti Zakir.

“Zakir telah menyalahgunakan status penduduk tetapnya dengan membuat beberapa kenyataan yang menimbulkan kemarahan bukan Muslim dan bukan Melayu termasuk meminta Cina di negara ini balik ke negara asal dan kenyataan Hindu di Malaysia lebih setia kepada Perdana Menteri India.

“Lebih 100 laporan polis dibuat terhadap Zakir dan polis telah menghalangnya daripada berceramah kepada umum,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Lagipun, menurut Melissa, India telah mahu Zakir diekstradisi bagi tuduhan kes penggubahan wang haram.

Malaysia, katanya, perlu menghormati perintah ekstradisi kerana negara ini pernah menandatangani perjanjian ekstradisi dengan India.

Walaupun Zakir mendakwa beliau dalam keadaan bahaya sekiranya dibawa pulang ke India, namun pendakwah itu tidak ada bukti kukuh dengan alasannya, termasuk status permohonan sebagai pelarian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Lagipun, katanya, Zakir boleh ‘berpindah’ ke negara lain kerana difahamkan beliau pernah mendakwa mempunyai kerakyatan Arab Saudi dan ditawarkan oleh beberapa negara lain sebelum ini.

“Persoalannya kenapa Malaysia memberi layanan khas kepada Zakir sedangkan beliau telah menyalahgunakan status yang diberikan,” kata Melissa.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam menyatakan Perdana Menteri India, Narendra Modi tidak pernah membuat permintaan kepada Malaysia untuk menghantar pulang Zakir.

Modi, menurutnya, hanya menyentuh isu Zakir ketika pertemuan mesyuarat dua hala sebelum Sidang Kemuncak Ekonomi Timur yang berlangsung di Rusia baru- baru ini.

“Saya jumpa Narendra Modi, mereka tidak bangkit isu hantar pulang, beliau hanya sebut Zakir,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Kerangka Kerja Dasar Luar Malaysia Baharu di Putrajaya semalam.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

PM India tak minta Zakir pulang