Mohammad Javad Zarif . foto Agensi

TEHRAN – Sebarang serangan dari tentera Amerika Syarikat (AS) atau Arab Saudi terhadap Iran akan menyebabkan perang.

Amaran itu keluarkan oleh Menteri Luar Iran, Mohammed Javad Zarif selepas berterusan menuduh Tehran terlibat dalam melancarkan serangan ke atas loji pemprosesan minyak milik Aramco.

AS telah berbincang dengan Arab Saudi dan sekutu-sekutunya di Teluk kemungkinan untuk membalas serangan ke atas loji minyak pada Sabtu lalu, yang didakwa didalangi oleh Iran.

Semalam, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo menyifatkan serangan tersebut sebagai tindakan perang terhadap Arab Saudi.

“Saya membuat kenyataan sangat serius bahawa kami tidak mahu perang, kami tidak mahu terlibat dalam konfrontasi ketenteraan….Tetapi kami tidak akan berkelip dalam mempertahankan wilayah kami,” kata Zarif.

Ditanya apakah akibatnya jika berlaku bedilan dari tentera AS atau Arab Saudi ke atas Iran, Zarif berkata: ‘perang sepenuhnya’.

Zarif sebelum ini memberi amaran menerusi Twitter bahawa apa yang beliau sebutkan sebagai pasukan B – termasuk Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan Putera Mahkota Saudi Mohammed Bin Salman – memperdayakan Presiden Donald Trump untuk berperang melawan Iran.

Sementara itu, seorang penasihat kanan kepada pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyeru negara-negara Teluk supaya “berhati-hati”.

“Mereka (AS dan Arab Saudi) sedar bahawa bermain dengan ekor singa sangat berbahaya dan jika mereka bertindak terhadap Iran pada bila-bila masa, mereka tahu tidak akan ada esok bagi mereka di rantau ini,” lapor agensi berita Iran yang memetik Hossein Dehghan sebagai berkata.

Iran menafikan sebarang penglibatan dalam serangan itu meskipun kumpulan Houthi yang diselaraskan oleh Yaman sudah mengakui bertanggungjawab melakukannya.

“Mereka menuduh Iran kerana mereka tidak percaya negara Yaman yang ditindas telah mencapai kemampuan sedemikian,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri Abbas Mousavi, lapor agensi berita negeri IRNA. – MalaysiaGazette