Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Mohd Tahir bercakap kepada media selepas selesai menghadiri Taklimat Khas Organisasi 2019 Parti AMANAH di Hotel De Palma, Shah Alam, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 21 SEPTEMBER 2019.

SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menegaskan tiada satu pun cawangan parti itu dibatalkan pendaftaran oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) namun mengakui ada antaranya bermasalah.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung AMANAH, Mohd. Anuar Mohd. Tahir menegaskan, masalah yang berlaku tidak sampai menjejaskan pendaftarannya.

“Tiada satu pun cawangan AMANAH yang dibatalkan oleh RoS. Wallahi tiada satu pun cawangan yang berlaku (dibatalkan pendaftaran). Cuma ada insiden-insiden di mana cawangan-cawangan itu dikatakan tidak sampai lagi dokumennya kepada RoS.

“Oleh itu kami kena buat semula kalau sekiranya ia perlu dibuat semula,” katanya kepada MalaysiaGazette selepas Taklimat Khas Organisasi Amanah di Hotel De Palma hari ini.

Semalam, MalaysiaGazette melaporkan bahawa sebanyak 148 Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) termasuk peringkat kawasan, sayap pemuda dan wanita AMANAH didakwa dibatalkan di seluruh negara kecuali Sabah.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 81 yang terbatal melibatkan AGM peringkat kawasan manakala 32 AGM bagi Angkatan Wanita Amanah Nasional (AWAN), dan 35 AGM bagi sayap pemuda parti itu.

ARTIKEL BERKAITAN: 80 AGM kawasan parti Amanah terbatal?

MalaysiaGazette turut dimaklumkan bahawa penubuhan sayap pemuda parti itu juga dibatalkan.

Dalam pada itu, Mohd. Anuar juga mengesahkan laporan MalaysiaGazette semalam bahawa terdapat 81 AGM peringkat kawasan telah terjejas namun proses memulihkannya masih berjalan.

“AMANAH mengesahkan laporan sebuah portal mengenai status kawasan-kawasan dan sayap-sayap yang terjejas dalam parti ini.

“Namun begitu ingin ditegaskan hanya sebahagian kawasan yang terjejas dan situasi ini tidak memberi kesan atau mengganggu proses pemilihan serta penganjuran Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang akan berlangsung pada Disember akan datang,” katanya.

Justeru, Mohd. Anuar yang juga Ahli Parlimen Temerloh mengingatkan mana-mana pihak khususnya anggota dan kepimpinan parti semua peringkat tidak lagi menularkan khabar angin konon ada cawangan parti itu dibatalkan.

“Memang ada cawangan-cawangan yang ada sedikit masalah kerana mereka tidak disahkan kewujudan mereka lagi. Semua cawangan ini kena ambil langkah yang kami maklumkan tadi supaya patuh kepada Akta Pertubuhan dan menyalahi Perlembagaan parti.

“Kami harap mana-mana pihak tidak menularkan cerita-cerita ada cawangan-cawangan telah dibatalkan,” katanya.

Taklimat Khas Amanah hari ini dianjurkan oleh Mohd. Anuar sendiri yang dimaklumkan dalam tempoh 48 jam kepada semua ketua, setiausaha dan sayap AMANAH.

“Saya kagum ahli AMANAH ini, 48 jam saya panggil semua datang mendengar hujah-hujah kita dan mengetepikan kepentingan peribadi mereka serta menumpukan nak jaga kelangsungan parti.

“Saya yakin ini adalah satu-satu parti terbaik di dunia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

 

AMANAH anjur taklimat khas lepas 148 AGM dibatalkan