Idris Ahmad
Idris Ahmad

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof diingatkan agar tidak menilai dosa dan pahala mana-mana pihak hanya kerana marah dengan kerjasama Pas-UMNO.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menegaskan, sebagai pemimpin Islam dalam Parti Amanah Negara (PAN), Mujahid sepatutnya takut mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kalau pun marah kerjasama Pas-UMNO, jangan sampai sebut Pas-UMNO berlumba ke neraka.

“Takut apa dengan kerjasama Pas-UMNO, bukankah PAN parti Islam yang boleh ganti Pas? Kononnya ramai ahli Pas akan sertai PAN kerana tidak puas hati dengan kerjasama ini.

“Nah, sekarang siapa pula yang boleh kata tak perlu berlumba dgn Pas-UMNO ke neraka. Ngeri dengar ucapan ini,” katanya ketika menciap di akaun Twitter miliknya hari ini.

Khamis lalu, Mujahid berkata, Gagasan Rahmatan Lil Alamin yang hendak diterjemahkan ke dalam pentadbiran kerajaan bukanlah ‘satu pertandingan ke neraka’.

Sebaliknya, menurut Mujahid, konsep tersebut perlu dijadikan sebagai satu dasar yang boleh menjadikan negara ini terus maju ke hadapan.

Idris juga berdoa agar pemimpin Pas dan UMNO tidak mencontohi ucapan Mujahid itu yang seolah-olah tidak mahu menyerahkan segala urusan di dunia ini kepada Allah SWT.

“Nauzubillah minzalik. Minta jauh daripada neraka. Kita hanya beramal seperti apa yang Allah dan Rasul perintah. Quran, sunnah, ijmak dan qias panduan kita.

“Kemudian serah kepada Allah. Harapan kita agar diberi pahala dan dimasuk dalam syurga dan jauh daripada neraka. Itu sahaja.

“Dulu puak kamulah yang sering sebut, kami keluar Pas kerana ada golongan takfiri,” ciapnya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Gagasan Rahmatan Lil Alamin bukan pertandingan ke neraka – Mujahid