Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR – Saksi kesembilan perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi mendedahkan pengambilalihan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) dibuat untuk ‘lari’ daripada diaudit oleh Jabatan Audit Negara.

Saksi yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) syarikat itu mendakwa TIA oleh 1MDB  dibuat secara as is where is.

“Surat yang menyatakan bahawa TIA bersetuju diambilalih oleh 1MDB telah disediakan oleh saya dan dihantar kepada Najib dan kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan dibuat secara as is where is maka tidak perlu lagi audit.

“Jho Low telah meminta saya menulis surat kepada Najib sambil memberi ‘alasan’ itu merupakan permintaan Najib untuk ‘memastikan’ 1MDB tidak perlu diaudit lagi.

“Pada masa yang sama, Jho Low juga beritahu saya bahawa seandainya audit itu dibuat mungkin ianya akan memberikan risiko politik kepada Najib.

“Sebelum Jho Low hubungi saya, sudah ada perbicangan antara dia dan Najib tetapi saya tidak terlibat dengan perkara itu. Ini berdasarkan beberapa points yang telah dihantar kepada saya melalui email,” katanya.

Dalam pada itu, Shahrol memberitahu Najib menggunakan minit mesyuarat pemegang saham Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) untuk melindungi dirinya daripada tuduhan penyelewengan.

Shahrol yang membaca keterangannya berkata, itu dilakukan menerusi minit pemegang saham MoF Inc yang memberi kuasa kepada lembaga pengarah TIA untuk melakukan transaksi besar.

TIA sebenarnya telah dibeli oleh kerajaan menggunakan MoF Inc dan kemudian menukar namanya kepada 1MDB pada tahun 2009.

Shahrol merujuk pada Minit Pemegang Saham atau Minutes By Representative Of Holding Company Relating To Proceedings Of Subsidiary Company Pursuant itu mendakwa ia dikeluarkan bagi meluluskan penurunan kuasa kepada Ahli Lembaga Pengarah TIA.

Shahrol menjelaskan, kuasa itu termasuk dalam menjalankan aktiviti transaksi pada jumlah yang besar seperti yang diperlukan oleh Seksyen 132C Akta Syarikat 1965 selaras dengan pertukaran hak milik syarikat TIA kepada Kerajaan Persekutuan.

“Saya hanya faham semua itu selepas pendedahan dalam penyiasatan ke atas penyelewengan yang berlaku dalam 1MDB.

“Minit mesyuarat pemegang saham ini sengaja dikeluarkan untuk melindungi Najib dari tuduhan penyelewengan dan kemudian meletakkan tanggungjawab ke atas lembaga pengarah TIA,” ujarnya.

Saksi pendakwaan itu juga percaya minit yang sama ditandatangani oleh Najib atas nasihat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau dikenali sebagai Jho Low.

Perbicaraan masih lagi berjalan dengan Shahrol sedang membaca penyataan saksi yang mempunyai 270 muka surat itu. –MalaysiaGazette