Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) tidak pernah melantik mana-mana individu untuk menjadi ejen menguruskan pendaftaran Program Back For Good (B4G) bagi pendatang asing tanpa izin pulang ke negara asal mereka.

JIM mendapat maklumat terdapat individu tidak bertanggungjawab mengaku sebagai ejen menguruskan pendaftaran Program B4G dengan mengenakan bayaran atas perkhidmatan yang didakwa boleh mempercepatkan proses pendaftaran.

Tegas ini adalah satu kesalahan, kata Ketua Pengarah JIM. Datuk Khairul Dzaimee Daud.

Menurut jabatan itu, sejak program itu bermula sehingga kini, JIM telah menangkap dan mendakwa beberapa ejen haram di sekitar premis JIM.

Tambahnya, seorang lelaki warga Pakistan ditangkap pada 8 Ogos lalu telah dikenakan kompaun dan telah diusir, malah namanya disenarai hitamkan.

Dua orang lelaki warga Indonesia ditahan pada 9 Ogos, telah dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara.

Dalam kes lain, tiga lelaki Indonesia ditangkap pada 14 Ogos lalu, juga dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman penjara dan sebatan.

Mereka yang melakukan kesalahan di bawah Peratusan 39 (b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahguna dan melanggar syarat pas, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen yang sah dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa. – MalaysiaGazette