Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan laporan kematian orang asli di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 25 SEPTEMBER 2019

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan memandang serius kejadian wabak polio melibatkan dua orang kanak-kanak di Filipina yang dilaporkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 19 dan 20 September 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun kes polio kali terakhir berlaku di Malaysia pada tahun 1982 dan sejak tahun 2000 negara ini bersama dengan negara rantau Asia Pasifik Barat telah diisytiharkan bebas dari penyakit polio.

Bagi memastikan Malaysia terus bebas dari polio, pemantauan gejala penyakit menyerupai polio iaitu Acute Flaccid Paralysis (AFP) dijalankan kepada kanak-kanak berumur kurang 15 tahun di semua fasiliti kesihatan negara ini.

“Sekiranya terdapat kes kes AFP dilaporkan, siasatan lengkap akan dijalankan. Setakat ini sebanyak dua sampel najis diambil dari kanak-kanak yang bergejala dalam tempoh 14 hari paralisis dan diuji di Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) satu-satunya yang diakreditasikan WHO setiap tahun untuk menguji pengesanan virus polio,” katanya dalam sidang media hari ini.

Justeru kata Dzulkefly, pihaknya juga menjalankan pemantauan kehadiran virus polio dalam persekitaran melalui persampelan air kumbahan di beberapa loji rawatan air kumbahan terpilih sejak tahun 2012 dan sehingga kini ia tidak ada kesan.

Menurutnya, kerajaan berjaya membasmi penyakit berkenaan menerusi vaksin polio yang diperkenalkan dalam program imunisasi untuk vaksin polio dos ketiga dari tahun 2014 hingga tahun 2018 antara 96.7 peratus hingga 99.0 peratus seperti diwajibkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Penyakit polio adalah berjangkit dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal yang disebabkan oleh virus berkenaan merebak menerusi oral-fekal dan melalui makanan serta air tercemar dan hanya boleh dicegah menerusi pemberian imunisasi.

Mengikut rutin Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Kebangsaan, vaksin polio sebanyak empat dos diberi secara kombinasi bersama vaksin Difteria, Pertussis, Tetanus dan Haemophilus influenza B kepada kanak-kanak berumur 18 bulan hingga lima tahun.

“Bagi mengekalkan negara terus bebas dari polio, kementerian menerusi semua Pejabat Kesihatan Daerah memastikan liputan imunisasi polio melebihi 95 perarus di semua lokaliti setiap masa, termasuk di kawasan yang dikenalpasti rendah liputan imunisasi.

“Bagi Sabah yang hampir dengan Filipina maka liputan imunisasi tinggi penting untuk melindungi Kanak-Kanak dari jangkitan polio.

“Kanak kanak yang tercicir imunisasi polio boleh dibawa ke mana mana fasiliti kesihatan berhampiran oleh ibu bapa untuk mendapatkan imunisasi segera disamping mengamalkan kebersihan diri dan persekitaran,” tegasnya.-MalaysiaGazette