Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) yang baharu, Jawahar Ali (kanan sekali) bersama Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan (kiri sekali).

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menganggap perlantikan Datuk Jawahar Ali sebagai Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) mampu untuk membuka lembaran baharu kepada pihaknya.

Menurut pengerusinya, Datuk Nadzim Johan, pelantikan itu merupakan petanda baik kepada kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ) yang digerakkan oleh pertubuhan itu sebelum ini.

“Pelantikan Jawahar sebagai Pengerusi PRESMA merupakan petanda baik kepada kempen Sokong Peniaga Pembayar Zakat (SPPZ) kerana penjualan kedai mamak Muslim tahun lalu hampir mencecah RM10 billion.

“Ini memberi peluang kepada Gerakan Tunai Zakat (GTZ) untuk membekal barangan kepada PRESMA dan seterusnya menjamin kualiti produk makanan di restoran Muslim negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Nadzim lagi, komuniti SPPZ yang tergolong daripada pengguna dan usahawan turut mendapat tempias apabila PRESMA membuka ruang perniagaan kepada golongan usahawan Muslim untuk membekal bahan mentah dan keperluan restoran Muslim di seluruh Malaysia.

“Kami amat menggalakkan semua usahawan untuk berdaftar dengan SPPZ untuk meluaskan lagi jaringan perniagaan sesama umat Islam di Malaysia dan luar negara,” kata Nadzim lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Jawahar yang merupakan pemilik rangkaian Restoran Ali Maju berkata pelantikan itu merupakan satu tanggungjawab dan bersedia menggalasnya.

“PRESMA akan menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, memainkan peranan bersama  PPIM bagi memastikan isu kepenggunaan ditangani dengan baik,” katanya.

Jawahar turut menyandang jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi PPIM, Penasihat PPIM dan merupakan rakan strategik kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. -MalaysiaGazette