Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan dalam buruan dan dipercayai akan dibawa balik penghujung tahun ini, Low Taek Jho atau Jho Low didakwa berterusan memberikan arahan kepada saksi kesembilan, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi walaupun selepas meletak jawatan di 1Malaysia Development (1MDB).

Shahrol yang merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB memetik contoh pada 2015 di mana  Jho Low akan menghantar email dan mesej melalui Black Berry Messenger (BBM) kepadanya tentang bagaimana cara untuk menjawab soalan-soalan berkaitan 1MDB.

Shahrol telah meletakkan jawatan sebagai CEO 1MDB pada Mac 2013 tetapi kekal dalam Lembaga Pengarah sehingga 2017.

Jelas Shahrol, antara yang telah ‘diajar’ oleh Jho Low termasuklah tentang perincian serta butiran Petro Saudi International (PSI), bagaimanakah ianya di tubuhkan, bagaimanakah syarikat itu dikaitkan dengan Raja Abdullah sehingga penamatan perjanjian pembiayaan Murabahah.

Selain itu, dalam menyambung keterangan hari ini, Shahrol turut memberitahu tentang surat sokongan kepada Petro Saudi daripada kedutaan Arab Saudi kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Mei 2011, surat pengesahan PSI dari Duta Malaysia ke Arab Saudi pada Mei 2011 juga surat rujukan untuk Tarek Obaid pada 1 Mei 2011.

“Saya juga ingat bagaimana semua Lembaga 1MDB telah dinasihatkan untuk tidak sesekali bercakap dengan media oleh Ketua Eksekutif 1MDB pada masa itu iaitu Arul Kanda.

“Saya juga tidak dapat ingat ada sesiapa yang bercakap tentang ini secara terbuka. Soalan-soalan itu juga datangnya daripada Jabatan Audit Negara atau dalaman sahaja,” katanya.

Selain daripada itu, Shahrol juga memberitahu Jho Low pernah memberitahunya bahawa Good Star Ltd adalah milik PSI.

Jelas Shahrol, Jho Low memberitahu perkara itu pada Mei 2015 selepas terbitnya laporan media bahawa Good Star Ltd itu miliknya selain daripada jutaan dolar dana 1MDB ke dalam akaun itu.

“Jho Low juga pernah ‘berjanji’ akan mendapatkan PSI untuk menulis kepada saya sepucuk surat untuk mengesahkan apa yang beliau katakan itu,” katanya kepada Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Seri Gopal Sri Ram ketika pemeriksaan balas utama tadi.

Najib ketika ini berhadapan dengan tuduhan penyewelengan dana sebanyak RM2.3 bilion selain daripada 25 lagi tuduhan dengan dana sama berhubung penggubahan wang serta salah guna kuasa sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada masa itu. –MalaysiaGazette