Anggota bomba memadam kebakaran di ladang di wilayah itu.

KUALA LUMPUR –  Tiga pelajar Malaysia yang dipindahkan dari Riau, semalam, diberikan rawatan susulan di Rumah Sakit (hospital) Abdi Waluyo di Jakarta, kerana mengalami batuk dan sakit perut.

Ketiga-tiga pelajar itu, yang tiba di Jakarta malam tadi, bersama 32 lagi pelajar dari Pekanbaru ekoran provinsi Riau diisytihar darurat jerebu, telah menjalani pemeriksaan kesihatan di Malaysia Hall.

Pengarah Education Malaysia di Indonesia, Prof Madya Dr Mior Harris Mior Harun berkata, ketiga-tiga pelajar yang menjalani pemeriksaan awal di Malaysia Hall, dibawa ke hospital berikutan keadaan kesihatan mereka, dan telah dibenarkan pulang.

Ketiga-tiga pelajar Universitas Islam Negeri Sultan Syarif Kasim di Riau ialah Noor Nasriq Syaizmie Rohezat (batuk dan demam), Ahmad Azhari Johari (batuk dan selsema) dan Saiful Hisyam Haslimi (selsema dan sakit perut).

Hari ini, 18 lagi pelajar Malaysia dari Jambi diterbangkan dari Pekanbaru ke Jakarta, yang tiba pukul 2.30 petang ini.

Semua pelajar berkenaan ditempatkan di Malaysia Hall sehingga keadaan jerebu kembali pulih.

Pelajar itu dipindahkan ke Jakarta kerana masih dalam proses permohonan visa pelajar atau KITAS ( Kartu Izin Tinggal Terbatas).

Gabernor Riau, Syamsuar mengisytiharkan provinsi itu berstatus darurat jerebu berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 500, sehingga mencecah bacaan 700.

Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya. – MalaysiaGazette