KUALA LUMPUR – Selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hebat dikritik kerana mengenakan caj perkhidmatan bank, Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) hari ini akhirnya menarik balik arahan yang dikuatkuasakan mulai 1 Oktober ini.

Penarikan balik itu membabitkan caj pembayaran sebanyak RM2  bagi cek dan tunai untuk kad kredit serta bayaran pembiayaan di kaunter dan mesin deposit tunai (CDM).

Tindakan beberapa bank tempatan itu dikritik oleh Tan Sri Rais Yatim, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Negeri Sembilan, dengan menyeru orang ramai membantah tindakan beberapa bank yang mengenakan caj pada perkhidmatan di kaunter dan mesin deposit tunai (CDM) bagi pembayaran bil kad kredit.

Bekas menteri kabinet itu berkata, caj tersebut sebagai keterlaluan dan membebankan pengguna terutama golongan B40.

Artikel berkaitan:Bank tekan rakyat, BNM berdiam diri

TERKINI : Bank Dah Tak Ada Duit? – Tan Sri Dr. Munsyi

Caj bank RM2 dikenakan tidak termasuk RM25 untuk kad kredit, kata Najib

‘Jangan tutup mata isu bank kutip RM2’

Rais seru orang ramai bantah caj kaunter bank

Tidak cukup dengan itu, Datuk Seri Najib Razak pula menyindir kerajaan Pakatan Harapan kerana pernah lantang membantah caj Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak 6 sen yang dikenakan untuk setiap pengeluaran duit dari ATM melalui rangkaian MEPS.

Padahal caj tersebut, kata bekas Perdana Menteri itu hanya dikenakan jika menggunakan ATM milik bank yang berlainan dari bank pengguna.

Bukan caj itu sahaja, kata Najib tetapi bank-bank juga mengenakan cukai baru RM25 setiap keping kad kredit sejak awal tahun ini.

Malah, ada pihak yang mengkritik Bank Negara Malaysia yang didakwa membenarkan pihak bank-bank mencekik darah pengguna dengan mengenakan pelbagai caj perkhidmatan.

Dalam kenyataan tersebut ABM menambah, pada masa ini beberapa segmen pelanggan sudah pun dikecualikan daripada caj termasuk kepada golongan kurang upaya dan warga emas.

Untuk pelanggan yang datang ke kaunter, terdapat alternatif mudah untuk menjalankan transaksi perbankan dan mendapatkan perkhidmatan seperti yang disediakan melalui mesin juruwang automatik (ATM).

Menurut ABM, ahli-ahli banknya akan berkomunikasi dengan pelanggan masing-masing (termasuk laman web bank). – MalaysiaGazette