KUALA LUMPUR – GETS Global Berhad dan KPIT Technologies Pte. Limited bersetuju untuk menubuhkan sebuah syarikat bertujuan khas (SPV) bagi mewujudkan sebuah Pusat E-Mobiliti, dalam usaha meraih peluang-peluang baharu di pasaran Malaysia dan ASEAN.

SPV ini bakal memperkukuh, mempromosi dan membangunkan projek-projek berkaitan mobiliti elektro yang mampan, dalam usaha menyokong pembangunan hijau, antara lain, dengan mengeluarkan bas-bas elektrik (EV) mesra alam untuk
tujuan komersil.

GETS Global adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan berpangkalan di Malaysia, mengendalikan empat segmen perniagaan, antaranya pegangan pelaburan, perkhidmatan bas ekspres, perkhidmatan bas dalam bandar, jualan bas-bas baharu dan terpakai serta perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan.

Terdahulu, pada 2 April 2019, GETS Global dan KPIT Technologies telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi mentadbir dan mengawal selia jalinan kerjasama ini.

Pada 26 September 2019, GETS Global memuktamadkan perjanjian pemegang saham bersama KPIT Technologies Pte. Limited, yang mana kedua-dua pihak akan memegang kepentingan saham dalam sebuah syarikat SPV baharu, dikenali
sebagai GETS E-Mobility Sdn Bhd (GEMS), dengan GETS Global menguasai 80 peratus saham majoriti.

GEMS ditubuhkan dengan objektif untuk mengendalikan projek-projek berkaitan e-mobiliti di rantau ini termasuk negara-negara utama ASEAN.

Pengarah Urusan GETS Global, Datuk Che Azizuddin Che Ismail berkata, kerjasama ini bakal membuka peluang-peluang baharu khususnya di bandaraya-bandaraya pintar utama seperti Kuala Lumpur/Putrajaya, Jakarta dan Bangkok, yang
sedang berhasrat menjadi bandar raya pintar di peringkat global.

“Sejak kebelakangan ini, kemajuan teknologi dan inovasi yang dipacu oleh Revolusi Industri 4.0 telah mengubah wajah industri mobiliti. Perkembangan teknologi utama ini, termasuk aliran jumlah data yang besar, kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT) dan kemunculan bentuk tenaga baharu yang kompak, telah memperkenalkan pelbagai pilihan mobiliti baharu”.

“Menerusi GEMS, kami akan memperkukuh, mempromosi dan membangunkan projek-projek mobiliti elektro yang mampan dalam menyokong kemampanan mobiliti hijau sejagat”.

“KPIT dan GETS akan menggabungkan sumber dan kepakaran sedia ada bagi mendapatkan peluang-peluang perniagaan di pasaran Malaysia dan Antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette