Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir bagi perbicaraan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 26 SEPTEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas perdana menteri Najib Razak menerima hadiah jam tangan mewah daripada pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Limited (PSI) Tarek Obaid.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi, memaklumkan perkara itu ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes Najib membabitkan dana 1MDB.

Sri Ram: Tarek beri hadiah kepada tertuduh? Hadiah apa?

Shahrol: Beliau memberi jam tangan.

Shahrol: Tidak biasa melihatnya tetapi nampak mewah.

Shahrol berkata Najib mendapat hadiah itu ketika menghadiri mesyuarat bersama ahli lembaga pengarah (BoD) 1MDB bersama PSI di Hotel Four Seasons London pada 16 Mei 2011.

Katanya, selain dirinya, Najib, Pengerusi BOD 1MDB, Che Lodin Wok Kamaruddin dan Tarek, Pengarah PSI, Patrick Mahony serta ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau Jho Low turut menghadiri mesyuarat tersebut.

Shahrol berkata semasa mereka di London terdapat tiga mesyuarat berlainan iaitu mesyuarat BoD 1MDB di Hotel Hilton, mesyuarat PSI-1MDB-Najib di Hotel Four Seasons dan perjumpaan PSI-1MDB BoD termasuk makan tengah hari di pejabat urusan PSI dilangsungkan.

“Setelah beberapa bulan perbincangan antara 1MDB yang diwakili oleh peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan dengan PSI dengan bantuan Jho Low, akhirnya satu cadangan untuk menukar bentuk pelaburan 1MDB dalam PSI dari bentuk nota Murabaha kepada pegangan ekuiti dalam syarikat milik PSI iaitu PSOSL (PetroSaudi Oil Services) dicapai.

“1MDB akan membeli 49% saham syarikat PSOSL dengan menukarkan nilai nota Murabaha yang pada masa itu adalah lebih kurang AS$2,222 juta mengambil kira tambahan nilai kupon yang belum dibayar oleh PSI kepada 1MDB,” kata saksi pendakwaan kesembilan itu ketika membaca penyataan saksi dalam perbicaraan tersebut.

Tambahnya, penukaran bentuk pelaburan ini adalah bertujuan supaya wang asal pelaburan 1MDB ke dalam PSI yang berjumlah AS$1,830 juta boleh dikembalikan secara berperingkat untuk digunakan dalam projek 1MDB yang lain.

“Oleh kerana isu ini banyak dibincangkan dalam mesyuarat BoD, apabila resolusi pekeliling pengarah (DCR) untuk penukaran diedarkan, ahli BoD semua setuju kerana ini adalah satu langkah ke hadapan dalam resolusi isu PSI ini walaupun pertukaran ini tidak ada dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat BoD.

“Semua urusan pengambilalihan PSOSL ini diuruskan oleh Jasmine Loo atas pengalaman beliau dalam hal korporat dari segi undang-undang. Jho Low juga ada memberi ‘talking points’ mengenai transaksi ini dan saya berpuas hati kerana ia memberikan ‘comfort’ yang wang 1MDB dalam PSI akan dibawa pulang melalui penjualan ekuiti PSOSL kepada fund Bridge Partners International Investments Limited yang akan memberi pulangan dan tunai kepada 1MDB,” katanya.

Beliau berkata Bridge Partners ini sepatutnya akan memasukkan ekuiti PSOSL ini dalam satu dana sebut harga yang membolehkan 1MDB menjual sebahagian daripada dana ini untuk membawa pulang tunai.

“Transaksi jual-beli ini berlaku dalam masa yang singkat kerana memang dirancang begitu. Tujuan dan matlamat penjualan nota Murabaha ini adalah untuk membawa pulang dana 1MDB.

“Kerana penglibatan Jho Low sebagai penasihat yang dipercayai kepada Najib, saya percaya yang Najib tahu dan setuju dengan cadangan ini yang memang bagi saya, satu penyelesaian yang ‘elegant’ yang mendatangkan manfaat kepada 1MDB dan PSI serta hubungan antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi.

“Saya tidak terlibat secara langsung dalam transaksi pertukaran ini. Bagaimanapun, saya percaya yang Jasmine Loo sama ada secara peribadi atau melalui Jho Low ada memberi taklimat kepada pemegang saham 1MDB iaitu Najib. Ini berdasarkan tandatangan Najib yang memberikan kelulusan bertulis,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

— BERNAMA