Pemuda Amanah Nasional akan tanggung kos Badal Haji untuk Allahyarham Muhammad Adib.
Kerajaan hari ini sudah menerima laporan interim daripada Jawatankuasa Khas Teknikal Kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

KUALA LUMPUR – Sama ada ianya memihak kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim atau sebaliknya, tunggulah keputusannya pagi Jumaat ini.

Esok (27 September 2019), Koroner Rofiah Mohamad yang mengendalikan inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam bermula 11 Januari lalu, akan mengumumkan keputusannya.

Pada masa sama juga berlaku prosiding permohonan komital (menghina mahkamah) terhadap Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang difailkan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdullah yang mewakili keluarga Muhammad Adib berkata, keputusan inkues esok tetap diteruskan meskipun terdapat notis rayuan difailkan Peguam Negara terhadap keputusan Mahkamah Koroner pada 27 Ogos lalu, yang membenarkan permohonan komital terbabit.

Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur akibat kecederaan parah yang dialaminya ketika bertugas memadam kebakaran dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Mariamman, Seafield USJ pada 27 November tahun lalu.

Dalam kejadian itu, Muhammad Adib, anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya diserang dan dipukul sehingga parah oleh sekumpulan perusuh, yang turut merosakkan jentera bomba, selain dua kenderaan lain dibakar.

Dalam keadaan parah, beliau diselamatkan oleh seorang orang awam yang menghantarnya ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) dan dimasukkan ke unit jagaan rapi, sebelum dipindahkan ke IJN pada keesokan malamnya.

Allahyarham Muhammad Adib bersama beberapa rakannya bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan bantuan kebakaran pada jam 4.38 pagi dan tiba di tempat kejadian 25 minit kemudian untuk mengawal kebakaran.

Namun, ketika sedang mengawal kebakaran, dia telah dicederakan oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali dan mengalami kecederaan serius. Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh pegawai bomba.

Beberapa rakaman video telah diperolehi dan dianalisa bagi mengenalpasti individu terlibat dalam kejadian itu, manakala polis juga telah mengenalpasti beberapa anggota bomba yang berada di tempat kejadian untuk dirakamkan percakapan mereka.

Pada 6 Disember, polis menahan empat lelaki yang dipercayai terbabit dalam insiden mencederakan Muhammad Adib dan mendapatkan tempoh tahanan reman selama empat hari dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Namun, Majistret Nurshahirah Abd. Salim membenarkan dua suspek dibebaskan dengan jamin bon mahkamah sebanyak RM2,000, manakala dia lagi dibebaskan dengan jaminan polis selepas tamat tempoh reman.

Semua suspek berusia antara 21 hingga 24 tahun direman bermula 7 Disember bagi membantu siasatan di bawah seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, sebelum mereka dibebaskan pada 10 Disember.

Pembebasan empat suspek itu menimbulkan rasa tidak puas hati orang ramai dan pemimpin politik parti pembangkang yang kemudian meragui tindakan polis berbuat demikian selepas menerima arahan dari Pejabat Peguam Negara.

Bapa kepada Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Mohd Kassim Abdul Hamid tidak dapat menahan kesedihan apabila dibacakan talkin untuk jenazah anaknya di Tanah Perkuburan Masjid As-Saadah, Kuala Kedah, Kedah pada 18 Disember lalu.

Berikut kronologi kes kematian Muhammad Adib:

26 November 2018: Berlaku pergaduhan membabitkan dua kumpulan berhubung isu pemindahan tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, jam 3 pagi.

Ketua Polis Negara, (bekas) Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengumumkan polis telah menahan seramai 17 lelaki dan mengadakan kawalan 24 jam.

27 November 2018: Anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Muhammad Adib, 24, diserang dan pukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar.

Ketua Polis Selangor beri jaminan keadaan terkawal, manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy minta semua masyarakat India bertenang.

28 November 2018: Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa Muhammad Adib mengalami kecederaan parah akibat kemalangan jalan raya, bukan diserang atau dipukul sekumpulan penganut hindu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia kemudian menubuhkan jawatankuasa khas siasat kejadian.

29 November 2018: Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan dakwaan pihak kuil tidak benar.

4 Disember 2018: Selepas seminggu dirawat, Muhammad Adib memberi tindak balas kepada orang sekeliling, tetapi masih tidak dapat bertutur.

5 Disember 2018: Muhammad Adib mendapat sistem sokongan kepada mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) yang membantu fungsi paru-paru.

Jantung Muhammad Adib juga mampu berfungsi dengan sendiri tanpa sokongan mesin bantuan.

7 Disember 2018: Muhammad Adib menunjukkan perkembangan positif walaupun masih kritikal dan stabil, selain tidak bergantung kepada mesin sokongan jantung.

8 Disember 2018: Muhammad Adib masih bergantung beberapa mesin sokongan untuk memastikan organ dalamannya dapat dipulihkan pada tahap optima.

10 Disember 2018: Muhammad Adib memberikan maklumbalas dengan menulis pada papan putih untuk berkomunikasi.

15 Disember 2018: Muhammad Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO kira-kira jam 9 malam selepas penilaian mendapati paru-parunya mula mengeras.

16 Disember 2018: Kesihatan Muhammad Adib kembali merosot dan kritikal. IJN memaklumkan selepas penilaian menyeluruh, paru-parunya menunjukkan tanda-tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

17 Disember 2018: Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam.

Selepas menerima berita kematian itu, orang ramai mengharapkan akan ada hari perbicaraan di mahkamah bagi mendapatkan keadilan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Tetapi, Peguam Negara mengarahkan agar diadakan inkues, bukan perbicaraan, bagi menentukan punca kematian Allahyarham Muhammad Adib.

Inkues itu bermula pada 11 Januari lalu di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah.

Hamdan dibantu Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim, manakala saksi untuk memberi keterangan melibatkan anggota bomba, polis dan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi dipanggil serta 137 eksibit dikemukakan sepanjang 52 hari inkues berlangsung.

Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman Seafield dan 50 penganut Hindu kuil itu untuk menjadi pihak berkepentingan dalam prosiding itu.

Prosiding inkues ditutup pada 24 Julai lalu, selepas mahkamah berpuas hati dengan keterangan saksi sedia ada dan tiada lagi saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan.

Agak menarik ketika separuh perjalanan inkues, pada 27 Mei, peguam Syazlin Mansor yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengumumkan menarik diri.

KPKT mengesahkan perkara itu menerusi kenyataan media bahawa, penarikan diri itu selaras dengan nasihat Peguam Negara, Tommy Thomas dan pelantikan itu dibatalkan berkuatkuasa serta merta.

Sejak itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia tidak lagi mempunyai peguam untuk mendengar perjalanan inkues, di samping membantu dalam penemuan fakta keseluruhan berhubung kematian Muhammad Adib.

Kira-kira dua minggu selepas itu, sebaik tidak lagi mewakili pihak berkepentingan dalam kerajaan, Syazlin bertekas untuk mewakili keluarga Muhammad Adib.

Keputusan itu dibuatnya selepas mengadakan perbincangan dengan keluarga arwah, khususnya bapa Muhammad Adib, iaitu Mohd Kassim Abdul Hami yang merayu untuk merayu untuk beliau terus mewakili mereka dalam usaha menuntut keadilan.

Memandangkan kematian Allahyarham Muhammad Adib agak konflik, kes itu menjadi perhatian orang politik dan badan bukan kerajaan (NGO), yang berusaha mendapatkan pembelaan dari kerajaan agar kematian arwah diberi keadilan sepenuhnya.

Namun, mereka berdepan dengan sikap Tommy yang sering mengeluarkan kenyataan berdolak dalik sehingga menggundang beberapa NGO, orang perseorangan dan orang politik campur tangan membentuk solidariti.

Solidariti untuk Allahyarham Muhammad Adib di luar pekarangan Mahkamah Shah Alam, esok.

Ini akan diterjemahkan oleh NGO Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang menganjurkan himpunan aman di luar pekarangan Mahkamah Shah Alam sempena keputusan inkues pagi esok.

Menurut Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahaya, himpunan itu bukan demonstrasi, sebaliknya bersifat solidariti rakyat untuk menyatakan sokongan kepada Muhammad Adib dan mereka menuntut keadilan bagi keluarga Allahyarham.

Himpunan aman itu bermula kira-kira jam 9 pagi esok, 27 September untuk mereka mendengar keputusan inkues berkenaan.

Mengulas lanjut, beliau mendakwa seperti ada satu ‘game’ di belakang kes berkenaan dan berharap keputusan mahkamah nanti akan dapat mengembalikan keadilan sebenar bagi pihak yang teraniaya dalam kes kematian Allahyarham Muhammad Adib. – MalaysiaGazette