Yeo Bee Yin

PUTRAJAYA – Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin berkata lima projek pembenihan awan telah berjaya dijalankan setakat ini.

Menurut beliau, rata-rata Operasi Pembenihan Awan (OPA) yang dilakukan Jabatan Meteorologi Malaysia dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah berjaya membuah hasil apabila terdapat hujan yang turun.

“Setakat ini lima projek pembenihan awan telah berjaya dijalankan ketika jerebu dan kita tengok IPU telahpun turun disebabkan perubahan musim,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Galakan Pendaftaran Taman Asuhan Kanak-kanak di Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.

Dalam pada itu, Bee Yin berkata, MESTECC telah dan sedang merencanakan langkah pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah jerebu di masa akan datang.

“Kementerian sedang menjalankan beberapa langkah untuk jangkamasa panjang dan akan keluarkan kenyataan nanti.

“Ia mengandungi langkah-langkah kerajaan untuk mengatasi dan menangani masalah jerebu di masa akan datang,” katanya lagi.

Minggu lalu, OPA telah dijalankan di beberapa negeri antaranya Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Operasi dijalankan dengan menggunakan 800 kilogram garam bersama 4,800 liter air dan dimasukkan ke dalam empat tong berkapasiti 1,500 liter setiap satu untuk dilepaskan ke awan oleh pesawat TUDM C-130. -MalaysiaGazette