Ir. Soam Heng Choon

PETALING JAYA- Di sebalik rancangan kerajaan untuk menjual lebih banyak rumah kepada pembeli asing, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) mendedahkan golongan tersebut tidak begitu berminat untuk membeli hartanah di negara ini.

Menurut Presidennya, Datuk Soam Heng Choon, berdasarkan data rasmi kira-kira 6,000 warga asing yang mendapat kelulusan untuk membeli hartanah di Malaysia menerusi program Malaysia Rumah Keduaku setiap tahun.

Dengan itu katanya, pemaju sendiri pun tidak begitu berminat untuk membina rumah bagi pasaran pembeli asing.

“Pembeli asing membeli kategori yang berbeza dengan kebanyakan pembeli tempatan tetapi apa yang penting, tidak ramai yang berminat untuk memiliki hartanah di Malaysia.

“Tidak kiralah apa pun nisbahnya.

“Kami tidak rasa ianya disebabkan oleh nilai ambang RM1 juta (yang ditetapkan kerajaan). Mereka mempunyai pelbagai alasan ekonomi yang lain (untuk membeli hartanah) contohnya ada anak-anak yang belajar di negara ini atau mungkin negara mereka terlalu sejuk dan sebagainya.

“Apabila kami menjual hartanah kepada pembeli asing, kami akan melihat aspek ekonomi ini secara keseluruhan dan bukannya menjual kepada kepada warganegara tertentu sahaja,” katanya semasa sidang media Kaji Selidik Industri Hartanah Separuh Pertama 2019 di sini hari ini.

Menurut Heng Choon, sebagai pemaju, mereka akan memastikan pembeli tempatan diberi keutamaan kerana majoriti pembeli hartanah di negara ini terdiri daripada rakyat Malaysia.

“Pembeli asing membeli hartanah berharga RM1 juta dan ke atas di mana kebanyakan pembeli tempatan tidak berminat,

“Kami mahu memastikan pembeli-pembeli tempatan dapat membeli hartanah yang mereka mampu dan kami juga tidak mahu menjual hartanah yang tidak mampu dimiliki warga Malaysia kepada rakyat asing.

“Mana ada peniaga yang mahu mengeluarkan produk yang tidak dikehendaki oleh pelanggan? Contohnya, jika saya boleh membuat sebiji kek berharga RM500 siapa yang mahu membeli kek tersebut?

“Tetapi jika saya boleh membuat sebiji kek yang agak sedap pada harga RM50, pasti ramai yang mahu membelinya, begitulah juga perniagaan di dalam industri hartanah ini,” jelasnya.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mencadangkan supaya Kempen Pemilikan Rumah (HOC) yang bertujuan untuk membantu pembeli rumah pertama diluaskan kepada program Malaysia Rumah Keduaku.

Katanya, cadangan itu adalah bagi menangani isu lebihan bekalan yang berlaku pada hartanah mewah. – MalaysiaGazette