Timbalan Pengarah Cawangan Khas II Bukit Aman, Datuk Cheong Koon Kock bercakap pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 26 SEPTEMBER 2019.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya melumpuhkan satu sindiket penyeludupan migran membabitkan warga Myanmar apabila menangkap seramai 77 orang dalam operasi yang dijalankan sejak Ahad lalu hingga semalam.

Timbalan Pengarah 2, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Cheong Koon Kock berkata, enam daripada mereka yang ditahan itu merupakan ketua-ketua sindiket manakala lima lagi adalah agen rangkaian.

Katanya, sindiket terbabit turut melibatkan warga tempatan dan kesemua migran warga Myanmar itu dibawa masuk ke negara ini menerusi pintu masuk Rantau Panjang, Kelantan dengan menyusuri Sungai Golok.

“Tangkapan dilakukan di 12 lokasi berasingan di sekitar Lembah Klang, Kelantan dan Pulau Pinang.

“Kita percaya mereka ini mempunyai senjata api dan juga terlibat dengan aktiviti penjualan dadah,” katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Koon Kock berkata, sindikit yang ditumpaskan itu turut mempunyai kaitan dengan kes polis menembak mati seorang lelaki di Bandar 10, Puchong semalam.

Dalam insiden itu suspek seorang lelaki tempatan memandu Perodua Alza bersama lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar sebelum ditahan sepasukan anggota polis di lokasi.

Suspek dikatakan merempuh anggota polis yang cuba menahannya menyebabkan anggota polis terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan mengenainya.

Koon Kock turut memberitahu, maklumat awal yang diterima oleh pihaknya, kesemua migran yang ditangkap akan dikerah untuk bekerja di sektor perladangan.

Malah katanya, terdapat tiga daripada mereka yang ditahan merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ujarnya, polis menerusi cawangan khas kini sedang giat melakukan operasi bagi membanteras aktiviti penyeludupan migran itu daripada terus berleluasa. – MalaysiaGazette