Ketua Polis Daerah Tapah Supt Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kemalangan pada 11.15 malam itu melibatkan sebuah lori jenis Isuzu, kenderaan pacuan empat roda jenis Pajero, Perodua Myvi dan Axia, Honda Accord serta dua buah treler.
KUALA LUMPUR – Polis menafikan kononnya berlaku penculikan seorang kanak-kanak di kawasan Puchong Permai sebagaimana dakwaan seorang wanita melalui rakaman suara yang tular melalui aplikasi media sosial WhatsApp, sejak kelmarin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Risikin Satiman berkata, polis mengadakan pertemuan dengan beberapa pemilik kedai dan orang awam berhampiran kawasan itu bagi mendapatkan maklumat berhubung kes tersebut.

“Namun, beberapa pemilik kedai dan orang awam menafikan terdapat kejadian culik yang berlaku seperti dakwaan melalui rakaman suara itu. Oleh itu, saya nasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu yang tiada kesahihan.

Masyarakat juga tidak perlu gusar tentang keselamatan dan ketenteraman awam di sekitar Daerah Subang Jaya yang sentiasa dipantau rapi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain serta badan bukan kerajaan (NGO) termasuk persatuan penduduk,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, tular rakaman suara seorang wanita melalui media sosial mendakwa berlaku kes culik seorang kanak-kanak oleh seorang lelaki di hadapan sebuah kedai berhampiran kawasan Puchong Permai. – MalaysiaGazette