petrol
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dijangka mengemukakan laporan mengenai mekanisme pelaksanaan minyak subsidi untuk kelulusan Jemaah Menteri pada Oktober depan.

Timbalan menterinya, Chong Chieng Jen menjangkakan berjuta-juta orang daripada golongan berpendapatan rendah akan memperoleh manfaat melalui pendekatan itu.

Katanya lagi, untuk memastikan hanya golongan yang betul-betul layak boleh menikmati subsidi itu, kerajaan juga akan merujuk bayaran bil api pemohon subsidi.

Beliau memberi contoh, hanya individu yang membayar bil api bulanan antara RM100 hingga RM200 layak menerima subsidi minyak.

“Kerajaan boleh menyemak maklumat melalui Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan syarikat-syarikat bekalan air, mereka yang membayar bil elektrik antara RM100 hingga RM200 dianggap ‘boleh diterima’.

“Jika membayar antara RM500 hingga RM600 sebulan, maka tidak layak untuk menerima subsidi,” katanya kepada Sinchew Daily.

Chieng Jen bagaimanapun menegaskan bahawa bil elektrik hanya merupakan satu rujukan dan bukannya faktor semesti dalam penentuan penerimaan subsidi minyak.

“Ia adalah ditentukan sama ada seseorang itu merupakan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH)” katanya.

Beliau berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada pihak yang mengendalikan program E-kasih, BSH serta Lembaga Hasil Dalam Negeri, TNB dan syarikat-syarikat bekalan air.

“Kami sedang menyusun dan menyemak maklumat ini. Kami percaya dapat menyerahkan laporan untuk diluluskan Kabinet pada Oktober,” katanya.

Sekiranya mekanisme baharu subsidi minyak dijalankan, maka harga siling RON95 akan dimansuhkan dan harga minyak diizinkan mengapung mengikut keadaan pasaran.

Chieng Jen berkata, subsidi yang dicadangkan kementeriannya ialah RM30 sebulan untuk RON95 atau maksimum 100 liter minyak subsidi sebulan.

Tambahnya, untuk penunggang motosikal pula, subsidi yang dibenarkan ialah RM12 sebulan.

Katanya lagi, cadangan kementerian ialah subsidi itu disalurkan terus ke dalam akaun pengguna memandangkan 90 peratus rakyat sudah memiliki akaun bank.

Dalam pada itu, Chieng Jen berkata, selain mengehadkan mekanisme itu kepada kenderaan 1500 cc ke bawah atau pemilik kenderaan dengan pendapatan bulanan RM4,000 ke bawah, kerajaan masih mengkaji satu pendekatan khusus untuk penduduk Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, keadaan itu berlaku kerana ramai petani berpendapatan rendah di Sabah dan Sarawak membawa kereta Toyota Hilux selain menggunakan bot.

“Kerajaan juga mahu pemilik bot yang layak menikmati subsidi minyak,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tak adil langsung klau rakyat tanggung anak ramai kerana anak anak tak mampu beli rumah tentunya bil letrik tinggi. Buat la kalau berani tunggu la klau ada prk memang mampuh la rakyat akan tolak fan kerjakan kamu. Bukan tu saja kami akan siasat ape yg lge, lks, semburit, kuti dan anak anak buat kerje sampai harta begitu melimpah dan kaya raya.

Comments are closed.