Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyeru  segelintir pihak tidak terlalu emosional dalam mengirimkan hantaran dalam laman sosial yang berbaur perkauman.

Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan itu akan kemudian mencetuskan perpecahan kaum dalam masyarakat yang berbilang bangsa pada masa ini.

Sebaliknya, Guan Eng meminta semua pihak bersabar dan peluang kepada pihak berkuasa mencari pembunuh ‘sebenar’ susulan kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, tahun lepas ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafields.

“Hormati keputusan itu dan bantu polis cari dalang di sebalik pembunuhan itu, dan bukannya mengirim kenyataan perkauman di media sosial.

“Keadilan mesti dilaksanakan dengan mencari dalang di sebalik kejadian ini,” katanya seperti yang dilaporkan Malaysiakini selepas melancarkan tiga perkhidmatan baru di Mount Miriam Cancer Hospital di Pulau Pinang.

Guan Eng mengulas keputusan mahkamah koroner yang memutuskan punca kematian Adib adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali.

Koroner Rofiah Mohamad ketika membacakan keputusan itu berkata, keterangan saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid, bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian, boleh diterima serta ada asas.

Kata beliau ketika membacakan keputusan, ianya juga disokong saksi ke-30 yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Amir Radzi Ab Ghani.

Beliau berkata, pihaknya turut menolak teori dikeluarkan saksi ke-24, Pakar Forensik Patologi di Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, yang menyatakan Muhammad Adib keluar sendiri dari van Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dilanggar.

Katanya, keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul di mana ia membabitkan kira-kira 20 hingga 30 lelaki.

Dalam pada itu, Guan Eng turut mengkritik tindakan mereka yang menyebarkan kejadian seorang lelaki ditembak mati oleh polis di Bayan Lepas selepas mengamuk dan membunuh penyelianya serta mencederakan yang lain. –MalaysiaGazette