Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian, Datuk Mohd Sallehuddin Hassan bercakap pada sidang media selepas hadir pada Majlis Konvokesyen Pertanian kali ke-9 2019 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di Dewan D, MAEPS Serdang, Selangor. foto NOOREEZA HASHIM, 30 SEPTEMBER 2019.

SERDANG – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menilai semula pemberian kontrak bekalan benih padi kepada pembekal sekiranya pesawah menghadapi masalah secara berterusan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd. Sallehuddin Hassan, penilaian semula itu bagi memastikan pembekal benih padi berkemampuan sepenuhnya untuk membekalkannya pada masa akan datang.

“Kita punya kontrak baharu, kita sudah tengok mana-mana syarikat yang tidak ada kemampuan maknanya sentiasa ada kekurangan, kita mungkin bagi kurang kuota atau tidak bagi pada tahun akan datang.

“Perkara ini serius sebab petani sudah bakal tanah, dan tunggu benih tiba. Kita akan berikan kepada syarikat berkeupayaan berdasarkan kepada penilaian teknikal,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Sallehuddin berkata, isu kekurangan bekalan benih padi akan dapat diselesaikan dalam minggu ini.

Jelas beliau, ia memandangkan bekalan padi akan diambil daripada pembekal lain yang mempunyai stok bekalan benih padi.

“Biasanya kita akan berikan kuota kepada pembekal lain. Kita dalam proses terakhir, dalam sehari dua lagi akan selesai.

“Kementerian kena jumpa MOF juga sebab kita baru tahu isu ini minggu lepas ada pembekal yang tidak dapat penuhi keperluan berkenaan. Ada contohnya kawasan tanaman dia diserang penyakit maka mereka tidak dapat menyediakan bekalan mencukupi tetapi bekalan ada dan kena ambil dekat tempat lain.

“Ini memerlukan masa sedikit dan saya baru berhubung dengan MOF pagi tadi, dan minta segerakan. Kalau boleh bagi esok atau lusa arahan kepada pembekal dan tambah kuota dan mereka akan bekalkan,” katanya lagi.

Minggu lalu, sebuah akhbar harian melaporkan lebih 4,000 pesawah di Bagan Serai, Perak bimbang tidak dapat memulakan musim penanaman padi berikutan kesukaran mendapat padi sah daripada pembekal seluruh negara.

Ia disebabkan sembilan syarikat pembekal terbabit belum menerima kuota tambahan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi membekalkan benih padi sah kepada pesawah, khususnya di Bagan Serai. – MalaysiaGazette