KUALA LUMPUR – Seramai 429 pengunjung kelab malam yang disyaki menyalahgunakan dadah di pusat-pusat hiburan ditahan dalam sebuah operasi di sekitar ibu negara semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd berkata, operasi yang dipanggil Ops Rats itu dilakukan dalam usaha membanteras masalah penyalahgunaan pusat hiburan oleh pengunjung kelab malam dengan pengambilan dadah.

Katanya, sebanyak 22 pusat hiburan diperiksa dalam operasi selama dua hari itu dan polis telah menjalankan pemeriksaan air kencing ke atas 1,350 orang pengunjung. “Saringan awak ke atas 275 orang yang diperiksa didapati positif dadah manakala 154 orang lagi yang diperiksa memiliki dadah bersama mereka.

“Terdapat 35 orang warga negara asing yang ditahan turut positif dadah,” katanya pada sidang media Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur hari ini. Kata Mohd. Khalil, semua yang ditangkap berusia 18 hingga 41 tahun dan kini direman dibawah seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut di Bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.