KUALA LUMPUR- Prestasi buruk Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang menyaksikan penurunan lebih 51.9 peratus pendapatan bersihnya pada 2018 tidak mengandungi elemen jenayah.

Pengerusinya, Jeneral (B) Tan Sri Mohd. Zahidi Zainuddin berkata, ianya adalah disebabkan oleh kesilapan mengurus.

Bagaimanapun, entiti itu tidak teragak-agak untuk membawa pesalah ke muka pengadilan sekiranya mendapati elemen jenayah berlaku sehingga menyebabkan LTAT mencatatkan prestasi kewangan yang teruk. “Tiada unsur jenayah cuma salah cara mengurus. “Tetapi jika ada keperluan untuk melakukan siasatan lanjut, kami akan menyerahkannya kepada pihak berkuasa yang berkaitan,” katanya semasa sidang media pengumuman prestasi kewangan LTAT 2018 di sini hari ini.

LTAT merekodkan pendapatan bersih belum audit sebanyak RM221 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, jatuh 51.9 peratus berbanding pendapatan bersih yang dinyatakan semula sebanyak RM459.5 juta pada 2017.