KUALA LUMPUR- Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking optimis rundingan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) boleh dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini.

Beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, perkara-perkara penting seperti akses pasaran dijangka mencatatkan progres yang baik dan tidak akan menyebabkan pengumuman penamatan rundingan secara substantif akan tertangguh.

Malaysia yang berkongsi aspirasi penuh bersama negara-negara anggota ASEAN yang lain mahu melihat RCEP dimuktamadkan dan sekali gus mengukuhkan lagi integrasi ekonomi dalam kalangan negara anggota.

Dengan itu, Malaysia telah menyertai mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Dagangan (TNC) ke-28 RCEP di Da Nang, Vietnam bermula 19-27 September lalu.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta pegawai-pegawai kanan kementerian serta agensi berkaitan.

Sejak Julai tahun lepas, rundingan RCEP telah memuktamadkan sembilan bab antaranya, Prosedur Kastam dan Fasilitasi Perdagangan, Pemerolehan Kerajaan dan Hak Harta Intelek.-MalaysiaGazette