Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahad Fenner dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 33 pertuduhan menerima rasuah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OKTOBER 2019.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Zahrah Abd Wahad Fenner didakwa dengan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.718  juta.

Pendakwaan 31 pertuduhan itu dibuat di bawah Seksyen  17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang mana jika didapati bersalah setiapnya boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun, selain denda lima kali ganda nilai suapan.

Kesalahan rasuah yang antaranya melibatkan memberi kelulusan Program Online Networking Enterprenuers SSM di Sabah, Sarawak,Kedah,Kuala Lumpur, Johor,Pulau Pinang, Pahang, Melaka,Terengganu didakwa dilakukan antara Disember 2015 hingga Januari tahun ini.

Selain itu, kelulusan melantik syarikat SSJ Niaga bagi program Perkhidmatan Pengiklanan Papan Tanda Led Komersial SSM Kedah, Melaka,Perak,Johor.

Zahrah juga dituduh meluluskan permohonan menganjurkan Program Karnival Youngenterpreneur, GO! (YPGO) di Perlis, Sarawak, Kuala Lumpur, Pahang, Sabah, Kelantan serta menyalahgunakan kedudukannya sebagai CEO SSM sebelum ini.

Zahrah mengaku tidak bersalah dalam semua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Manakala anaknya,  Abdulazeez Wan Ruslan pula berhadapan dengan empat pertuduhan bersuhabat dengan ibunya yang didakwa menerima rasuah berjumlah RM160,000.

Dua pertuduhan yang dihadapinya di bawah Akta SPRM.

Manakala dua lagi pertuduhan didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan, jika didapati bersalah penjara sehingga dua tahun, denda atau kedua-dua sekali.

Abdulazeez juga mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan dan minta dibicarakan.

Pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Allan Suman Pillai mencadangkan mahkamah menetapkan RM1 juta bagi wang jaminan untuk Zahrah dan Abdulazeez.

Hakim Azura Alwi kemudian menetapkan Zahrah bebas dengan jaminan sebanyak RM300,000 dan dua orang penjamin.

Abdulazeez Wan Ruslan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas 4 pertuduhan bersubahat menerima rasuah berjumlah lebih RM160,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 02 OKTOBER 2019.

Sementara Abdulazeez pula ditawarkan jaminan sebanyak RM70,000 serta seorang penjamin.

Zahrah dan anaknya dalam masa yangs ama diperintahkan mahkamah untuk melaporkan diri di ibu pejabat SPRM sekali, setiap bulan.

Mahkamah Sesyen menetapkan 26 November bagi tarikh sebutan semula kes dan penyerahan pasport.

Dua beranak itu diwakili peguam yang sama, Hamidi Mohd Noor.

Untuk rekod, Zahrah dan anak lelakinya telah dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada 2 petang semalam  bagi proses akhir siasatan dan pendakwaan.

Zahrah yang merupakan akauntan bertauliah, dilantik sebagai CEO SSM pada 2015.– MalaysiaGazette