KUALA LUMPUR – Ketua Audit Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menggunakan kedudukannya bagi meluluskan pembayaran sebanyak RM17,600 kepada isterinya menerusi sebut harga makanan, tiga tahun lepas.

Bagaimanapun, Norazmi Jumali, 42, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mengikut pertuduhan, Norazmi didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi Kelab Kebajikan Sukan dan Rekreasi Balai Seni Visual Negara (Surea) untuk mendapatkan suapan iaitu meluluskan pembayaran sebanyak RM17,600 kepada isterinya, Norasmiza Rusli dengan menggunakan sebut harga MyKitchen Food Delivery (Homemade Cook & Halal) bagi pembayaran makan tengah hari untuk petugas konservasi mengecat dinding ‘Bas Relief’ di Masjid Diraja Sultan Suleiman Klang, Selangor.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat LPSVN di Jalan Tun Razak di sini pada 6 Sept 2016.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Norazmi juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan iaitu dengan curang menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu MyKitchen Food Delivery berjumlah RM17,600 bertarikh 31 Okt 2016 yang mana diketahui bahawa ia adalah dokumen palsu di lokasi sama antara Oktober dan November 2016.

Bapa tujuh anak itu didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin selain memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Peguam Nor Azri Mohd Arif yang mewakili Norazmi memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya akan digantung kerja yang menyebabkan jumlah gaji yang diterimanya hanya separuh sahaja.

Rozina kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

“Nama tertuduh disenarai hitam ke luar negara dan notis akan dikeluarkan kepada pihak Imigresen. Tertuduh juga diarahkan lapor diri di pejabat SPRM Putrajaya sekali sebulan sehingga kes selesai,” katanya yang menetapkan 4 Nov ini untuk sebutan semula kes.

— BERNAMA