KUALA LUMPUR – Polis telah mengambil keterangan sembilan individu termasuk seorang wanita berhubung rakaman video memaparkan sekumpulan individu yang dilihat enggan berdiri ketika lagu Negaraku dimainkan dalam satu majlis di Sarawak.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman SAC Mior Faridalatrash Wahid berkata, proses mengambil keterangan kesemua suspek berusia 34 dan 64 tahun dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sarawak.
“Siasatan kes dilakukan mengikut disiasat mengikut Seksyen 8 (3) Akta Lagu Kebangsaan 1968 dan ianya telah selesai.
“Kertas siasatan berhubung kes ini telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Ditanya alasan individu itu tidak menghormati lagu Negaraku, beliau berkata berdasarkan keterangan mereka bertindak sedemikian sebagai tanda protes.
“Siasatan polis tidak mengambil kira apa jua alasan yang dibuat kerana undang-undang telah tetapkan yang jika lagu Negaraku dimainkan, warga Malaysia perlu beri penghormatan dan berdiri,” katanya.
Menurut laporan portal tempatan, kesemua individu berkenaan dipercayai merupakan ahli Kumpulan Sarawak For Sarawakians (S4S) yang bertindak demikian sebagai tanda protes terhadap janji kerajaan Persekutuan kepada negeri itu yang tidak dipenuhi.
Video berdurasi 22 saat berkenaan dipercayai dirakam di satu majlis makan malam, minggu lepas, sebelum dimuatnaik di media sosial dan dikongsi lebih 4,000 akaun.
Mengulas larangan bacaan doa di sebuah sekolah di Pulau Pinang, beliau berkata pihaknya akan memanggil sembilan lagi individu untuk membantu siasatan.
“Polis terima 10 laporan polis dan telah ambil keterangan lima individu terdiri daripada ibu bapa yang menghadiri majlis itu,” katanya.
Pada Jumaat beberapa individu dikatakan hadir pada satu majlis penyampaian anugerah di sekolah itu dan didakwa melarang pelajar Islam membaca doa mengikut agama Islam, sebaliknya dibaca mengikut agama Kristian. – MalaysiaGazette