Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut bercakap pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Perkhidmatan Rangkaian 5G antara Maxis dan Huawei di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 OKTOBER 2019.

PUTRAJAYA- Maxis Bhd. telah bersedia untuk memberikan perkhidmatan rangkaian 5G kepada pelanggan-pelanggannya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gokhan Ogut, syarikat telekomunikasi itu akan melancarkan perkhidmatan 5G-nya sebaik sahaja spektrum rangkaian teknologi terbaharu itu tersedia oleh kerajaan.

Mengikut perancangan kerajaan, rangkaian 5G boleh dinikmati oleh rakyat Malaysia bermula pada separuh kedua tahun depan.

“Perjalanan Maxis bersama rangkaian 5G sudah lama. Ia bermula sejak dua tahun lalu dan kami telah bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk melancarkan perkhidmatan tersebut sebaik sahaja spektrumnya tersedia di Malaysia.

“Jika mengikut perancangan adalah pada separuh kedua tahun depan,” katanya semasa sidang media selepas pemeteraian perjanjian di antara Maxis dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Perjanjian disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Al-Ishsal Ishak, Pengerusi Maxis, Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perniagaan Huawei, Ryan Ding.

Menurut Gokhan, Maxis bercita-cita untuk menjadi penyedia perkhidmatan telekomunikasi pertama di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan 5G.

Enggan mendedahkan jumlah pelaburan yang telah dibelanjakan mahupun diperuntukkan untuk teknologi terkini itu, Gokhan juga memaklumkan, Maxis masih belum memutuskan kadar yang akan dikenakan kepada pelanggan yang melanggan perkhidmatan tersebut.

“Saya gembira apabila ramai yang teruja dengan rangkaian 5G tetapi terus-terang saya katakan, kami masih belum memutuskan kadar harganya kerana ianya masih di peringkat percubaan.

“Tetapi apa yang boleh saya katakan, ianya tidak akan banyak berbeza dengan kadar-kadar yang kami tawarkan sebelum ini,” jelasnya lagi.

Di bawah perjanjian yang ditandatangani hari ini, Huawei akan membekalkan peralatan dan perkhidmatan radio 4G/LTE dan 5G kepada Maxis.

Selain mendapat akses kepada teknologi 5G, Maxis juga dapat memodenkan rangkaian LTE-nya untuk menjadi sedia 5G.-MalaysiaGazette