Khairul Azwan Harun

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun menempelak kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menimbang untuk mengkaji semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Jelas beliau, inilah yang akan berlaku kepada kerajaan sekiranya mendengar nasihat daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan kata setiausaha politiknya Tony Pua.

“Inilah yang berlaku bila mendengar nasihat Lim Guan Eng dan Tony Pua. Ia tidak sepatutnya digantikan dengan SST.

“KJ (Khairy Jamaluddin) pernah cadangkan supaya turunkan kepada 3 peratus dan kerajaan akan mendapat lebih pulangan daripada pelaksana semula SST,” kata Khairul Azwan.

Khairul Azwan atau Azwan Bro merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa kerajaan sedia untuk mengkaji cadangan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) untuk mengembalikan semula GST sekiranya ia kehendak rakyat.

Malah Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan cukai yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) pada 2015 lalu lebih efisien dan telus.

Beliau bagaimanapun berkata, sebelum ia diperkenalkan semula, kerajaan perlu mengambilkira kesediaan rakyat khususnya yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM1,500 untuk menerima polis percukaian itu.

GST pada kadar enam peratus pernah dilaksanakan sejak 1 April 2015 namun dimansuhkan pada 1 September 2018 dan digantikan dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST). -MalaysiaGazette