Syafiq Ahmad meraikan jaringan kelima bersama rakan sepasukan pada perlawanan Persahabatan Antarabangsa antara pasukan Malaysia menentang pasukan Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – Harimau Malaya mencatatkan kemenangan selesa 6-0 bertemu Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan antarabangsa yang telah berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini.

Penyerang pasukan tuan rumah Muhammad Syafiq Ahmad membuka gol pertama pada minit ke-8 sekali gus meletakkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe di hadapan.

Syafiq berjaya menyumbat bola ke gawang gol lawan menerusi hantaran cantik dari Muhammad Safawi Rashid.

Lima minit kemudian Harimau Malaya menambah jaringan kedua menerusi Shahrul Mohd Saad menerusi hasil sepakan penjuru yang disempurnakan Safawi Rashid di gawang lawan.

Kesilapan pasukan pelawat di bahagian pertahanan sekali lagi dihukum oleh Harimau Malaya pada minit ke-17 menerusi gol ketiga menerusi Norshahrul Idlan Talaha hasil hantaran silang Muhammad Syafiq.

Skuad Harimau Malaya terus mengatur serangan secara berterusan di gawang Sri Lanka dalam usaha menambah jaringan bagaimanapun beberapa peluang gagal diterjemah dalam bentuk gol sebelum perlawanan di babak pertama ditangguh dengan 3-0 memihak kepada skuad tuan rumah.

Walaupun dengan kedudukan semasa 3-0 di babak pertama, Malaysia masih mendapati melakukan beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya seperti melepaskan bola dengan mudah, tidak menahan bola dengan kemas di atas padang.

Keputusan perlawanan Persahabatan Antarabangsa antara pasukan Malaysia menentang pasukan Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 05 OKTOBER 2019

Kesilapan seperti itu seharusnya dielakkan dan menjadi fokus utama pasukan memandangkan bakal berdepan Vietnam di Hanoi dalam perlawanan ketiga Kumpulan G pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asian 2023 10 Oktober ini.

Lima minit selepas Separuh masa kedua dimulakan, Malaysia sekali lagi berjaya merobek gawang gol lawan menerusi Muhammad Akhyar Abdul Rashid selepas penjaga gol Sri Lanka Hilmi Luthfi gagal menepis kemas rembatan Norshahrul Idlan Talaha pada awal minit ke-51.

Malaysia terus mengatur serangan di gawang lawan dalam beberapa percubaan namun kekebalan pertahanan menafikannya.

Bagaimanapun pasukan pengunjung tidak dapat bertahan lama asakan demi asakan oleh Harimau Malaya apabila menyerah kalah pada minit ke-76 kepada jaringan gol kelima tuan rumah menerusi Muhammad Syafiq sekali lagi.

Sebelum separuh masa kedua berbaki 2 minit untuk wisel penamat 90 minit ditiup, Muhammad Syafiq menyumbat gol hatrik menjadikan keputusan muktamad 6-0 memihak tuan rumah.

Muhammad Syafiq diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan. – MalaysiaGazette