Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Majlis Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2019
KUALA LUMPUR – Pengiraan saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM3.4 trilion Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030), adalah pada harga nominal/semasa yang mengambil kira kesan inflasi, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Katanya, maka, untuk mencapai sasaran nilai KDNK RM3.4 trilion pada tahun 2030, KDNK perlu berkembang pada harga malar 4.7 peratus setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030 dengan kadar inflasi purata 2.3 peratus dalam tempoh tersebut.

“Atau dalam kata lain, sasaran nilai KDNK RM3.4 trilion boleh dicapai dengan pertumbuhan purata pada harga nominal sebanyak 7 peratus setahun bagi tempoh 2018 hingga 2030,” kata kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Katanya, dokumen WKB2030 yang dilancarkan semalam jelas membezakan angkubah mengikut kedua-dua pengukuran berkenaan.

Ini selari dengan kenyataan yang dibuat oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sejurus selepas pelancaran WKB2030 semalam, katanya.

Menurut kementerian itu, WKB2030 merupakan satu hala tuju baharu negara bagi menangani pelbagai cabaran yang dihadapi dalam tempoh dekad yang akan datang.

Adalah penting untuk semua pihak menggembleng tenaga dan memberi tumpuan ke arah satu objektif yang sama supaya semua lapisan masyarakat akan beroleh kemakmuran dan kejayaan yang dinanti- nantikan, katanya.

Katanya, KDNK boleh diukur dalam harga nominal/harga semasa dan harga malar/harga tetap.

Pengukuran KDNK dalam harga nominal (atau dalam harga semasa) mengambil kira kesan kadar inflasi, manakala pengukuran yang sama dalam harga malar (atau dalam harga tetap) tidak mengambil kira kesan kadar inflasi dan oleh itu, mencerminkan peningkatan dalam nilai ditambah/output sebenar, katanya.

Menurutnya, lazimnya nilai KDNK dinyatakan dalam harga nominal manakala kadar pertumbuhan KDNK dinyatakan dalam harga malar.

Kementerian itu membuat penjelasan demikian bagi menyangkal dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa pengiraan KDNK nominal oleh Putrajaya adalah salah.

“Kalau nak capai sasaran KDNK RM3.4 trilion untuk tempoh 12 tahun dari 2018 hingga tahun 2030, kita perlu kadar pertumbuhan KDNK purata sebanyak 7.36 peratus, bukan 4.7 peratus.

‘’Jika hanya 4.7 peratus setahun, KDNK negara hanya RM2.53 trilion pada tahun 2030. Tak sampai sasaran RM3.4 trilion, katanya dalam laman sosial Facebook.

— BERNAMA

Artikel berkaitan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast