Tun Dr. Mahathir Mohamad (dua kiri) diiringi Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang (kiri) bercakap kepada media pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 06 OKTOBER 2019

SHAH ALAM – Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memberi jaminan bahawa Kampung Baru, Kuala Lumpur tidak dijual kepada pihak asing sebaliknya hanya akan dibangunkan oleh agensi kerajaan.

Perdana Menteri berkata, Kampung Baru yang terletak di tengah-tengah bandar itu perlu dibangunkan agar pembangunannya nampak seiring dengan persekitarannya.

Situasi Kampung Baru sekarang tidak menggambarkan kedudukan orang Melayu dengan rumah-rumah lama di sebalik bangunan pencakar langit di kiri dan kanannya.

“Kampung Baru tak jual tanah dan (arah) tinggalkan kampung. Mereka tak jual kepada agensi lain tapi agensi kerajaan yang akan bangunkan Kampung Baru.

“Ini kerana waktu ini tidak boleh buat Malay Agriculture Reserve. Tetapi pada masa ini ia tidak boleh buat agriculture di situ sebab tidak ada cukup wang.

“Boleh berniaga di situ tetapi tak boleh membangunkan Kampung Baru. Ia (Kampung Baru) nampak macam kudis di tengah bandar Kuala Lumpur yang membangun pesat, dengan pencakar langit. Kita lihat di situ ada rumah lama, zink berkarat, tak cerminkan kedudukan orang Melayu ,” katanya pada sidang media selepas Kongres Maruah Melayu.

Mengenai harga tanah di Kampung Baru, Dr Mahathir berkata ianya terpulang kepada penduduk di situ untuk menetapkannya.

Terdahulu Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata akan membincangkan tawaran harga untuk Kampung Baru itu dengan Perdana Menteri.

Untuk rekod, Khalid mengumumkan tawaran harga RM850 kaki persegi atau atau RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi untuk pembangunan semula atas tanah seluas 62 hektar.-MalaysiaGazette