Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin
Hamidin Mohd. Amin

KUALA LUMPUR – Datuk Hamidin Mohd Amin mahu skuad Harimau Malaya menterjemahkan kemenangan aksi persahabatan antarabangsa ke atas Sri Lanka malam tadi ketika berdepan dengan Vietnam di Hanoi Khamis ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia itu memuji prestasi skuad Tan Cheng Hoe pada aksi praperlawanan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Sri Lanka dan mahukan kemenangan 6-0 sebagai pembakar semangat menentang Vietnam, 10 Oktober ini.

Meskipun Malaysia menang ke atas Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam, beliau mahu skuad kebangsaan terus fokus menjelang aksi pertemuan Vietnam pada Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Hanoi nanti.

“Perlawanan ini sememangnya pemanas badan terbaik buat Harimau Malaya namun jangan biarkan kemenangan ini melekakan kita, sebaliknya jadikan ia sebagai pembakar semangat.

“Bukan mudah untuk mengekalkan kemenangan konsisten, apa yang penting pemain perlu bangkit menentang Vietnam.

“Jadikan perlawanan sebelum ini dan kemenangan hari ini sebagai pemangkin untuk kita bangkit dengan kemenangan. Misi itu tidak mustahil dengan berbekalkan semangat juang tinggi demi negara,” katanya dalam kenyataan awal pagi hari ini.

Menurutnya, walaupun ranking skuad negara lebih baik iaitu 158 berbanding Sri Lanka yang menghuni tangga ke-202 dunia, ia sudah membuktikan yang mereka mampu bersaing dengan pasukan lebih atas termasuk ketika hanya tewas 2-0 kepada Turkmenistan dan 1-0 Korea Utara sebelum ini.

Harimau Malaya pada 10 September lalu tewas dengan UAE 2-1 selepas memulakan kempen dengan langkah kanan menewaskan Indonesia 3-2 di gelanggang lawan pada 5 September di Jakarta.

Kemenangan berdepan Vietnam nanti akan memastikan Malaysia memungut 6 mata menerusi 3 perlawanan setakat ini dalam kumpulan G, Pusingan Kedua, Kelayakan Piala Dunia Qatar 2022/Piala Asian 2023.

Kemudian Malaysia akan menerima kunjungan Garuda ke Bukit Jalil yang dianggap perlawanan wajib menang pada 14 November dan negara gajah putih, Thailand lima hari kemudian iaitu 19 November 2019.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast