Atlet gimrama negara, Farah Ann Abdul Hadi menunjukkan tiga pingat emas, perak dan gansa selepas Majlis Royal Selangor Memperkenal Rekabentuk Pingat Sukan SEA dan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 di Perkarangan Royal Selangor, Setapak, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 30 MEI 201

KUALA LUMPUR – Ratu gimrama negara, Farah Ann Abdul akhirnya berjaya menempah tiket ke Sukan Olimpik di Jepun tahun depan.

Berusia 25 tahun, dia mengakui harapan untuk layak ke Sukan Olimpik sentiasa menjadi fokus utamanya, sekaligus pencapaiannya itu adalah satu berita yang sangat membanggakan dan menggembirakan buatnya.

“Saya memang ada letak harapan untuk layak ke Sukan Olimpik. Saya amat bangga dan gembira kerana telah layak ke Sukan Olimpik. Saya sangat berterima kasih kepada semua orang telah menyokong saya,” katanya kepada Bernama.

Farah Ann meraih slot ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun pada Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Stuttgart, Jerman kelmarin.

Tiket ke Tokyo itu diperoleh selepas Farah Ann mengumpul keseluruhan 49.898 mata pada pusingan kelayakan acara all-around individu sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun skuad gimnastik negara ke pentas Olimpik.

Berdasarkan senarai terkini Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG), Farah Ann adalah antara 20 gimnas yang layak ke Tokyo dalam acara all-around individu di kejohanan dunia edisi tahun ini.

Kali terakhir gimnas negara beraksi di temasya terbesar dunia itu adalah adalah menerusi gimnas lelaki, Ng Shu Wai di Athens 2004 manakala gimnas wanita pula menerusi Alexina Au Li Yen di Sydney 2000.

Farah Ann berkata, kejayaannya itu sekaligus menebus kekecewaannya sebelum ini yang hampir layak ke Rio de Janeiro pada 2016.

“Tidak dapat untuk menggambarkan selepas saingan begitu sengit di Rio de Janeiro dan tidak layak, ia amat memeritkan.

“Terima kasih kepada semua yang menyokong kami (skuad gimnas) memberi sorakan dan yang penting percaya kepada kami,” katanya dalam akaun Instagram @farahann94.

Farah Ann turut berterima kasih atas sokongan oleh jurulatihnya iaitu Nataliya Sinkova dan Ng Shu Wai, rakan sepasukan, keluarga dan persatuan yang dianggap tidak mungkin beliau mampu kecapi kejayaan yang diidamkan itu tanpa sokongan mereka. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast