Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 OKTOBER 2019

KUALA LUMPUR – “Saya dapat jemputan lambat sangat, petang itu saya ada di Negeri Sembilan, memang tidak dijemput,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebab mengapa beliau tidak hadir pada Kongres Maruah Melayu yang diadakan semalam.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ada menghubungi pengajur kongres terbabit untuk membenarkan dirinya hadir pada kongres terbabit.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak berkesempatan untuk menghadiri kongres itu kerana kekangan program di Port Dickson.

“Tapi bila saya tanya, mereka beri alasan PKR parti pelbagai kaum, tidak jemput, tetapi saya tanya akhirnya jemput juga, jemput petang.

“(Datuk Seri) Azizah telefon ada wakil kongres minta saya hadir, tapi saya ada program di sekolah, paling penting bagi saya masalah pengutusan urustadbir, rasuah, rompakan harta rakyat ini yang perlu dibetulkan, maruah tercemar kerana salah urus, penyelewengan dan rasuah,” katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar diminta mengulas mengenai ketidakhadiran beliau pada pada Kongres Maruah Melayu di Stadium Tertutup Malawati, Shah Alam, semalam.

Pelbagai pihak hadir antaranya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; dan Presiden Parti Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Turut hadir Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan UMNO diketuai Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata kepada media, pihaknya tidak menerima jemputan daripada penganjur Kongres Maruah Melayu untuk Anwar. – MalaysiaGazette