Lembaga Tabung Haji TH deposits
Lembaga Tabung Haji (TH) terus mencatatkan rekod tertinggi dengan jumlah deposit mencecah RM88 bilion setakat Mei 2022.

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengenal pasti lebih 700,000 akaun pendeposit tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut mulai tahun 2012 hingga akhir Ogos 2019.

Jumlah itu membabitkan simpanan sebanyak RM60.4 juta.

Sehubungan itu, TH menasihati para pendeposit untuk mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter uniteller atau melakukan transaksi atas talian dengan mana-mana rakan strategik TH melalui Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB di seluruh negara.

Pendeposit juga boleh menyemak status akaun mereka di saluran-saluran ini dengan hanya membawa kad pengenalan masing-masing.

TH berkata, akaun-akaun yang masih tidak diaktifkan selepas 1 November 2019 akan dipindahkan ke dalam kumpulan Akaun Dormant (Tidak Aktif).

Namun begitu, amaun yang dipindahkan ke Akaun Dormant tersebut masih lagi boleh dituntut dan dibayar kepada pendeposit TH menurut peruntukan seksyen 23(2) Akta Tabung Haji 1995.

Jelasnya, setiap tahun, TH akan mengingatkan para pendeposit untuk memastikan status akaun sentiasa aktif, di samping mengemaskini data peribadi seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris bagi memudahkan TH menghubungi pendeposit atau waris mereka untuk urusan penghantaran surat tawaran haji dan pengurusan akaun.

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau sebarang perkhidmatan TH, orang ramai boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan (THCC) kami di 03-6207 1919. -MalaysiaGazette